Perak Hari Ini

Homestay Kampung Beng daya tarikan pelancong di Daerah Lenggong

Keindahan alam semulajadi dan keunikan budaya tradisional masyarakat Melayu yang ditawarkan Homestay Kampung Beng, dekat Lenggong berpotensi besar dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan di negeri Perak.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata selain masakan tempatan yang banyak menggunakan ikan air tawar, homestay Kampug Beng juga memberi pengalaman kepada pelancong menaiki bot atau sampan untuk menyelusuri Sungai Perak.

“Untuk sampai ke Kampung Batu Ring, pelancong perlu meletakkan kenderaan mereka di jeti Pengkalan Pipit dan seterusnya menaiki bot atau sampan dalam masa antara 10 hingga 15 minit dengan menyelusuri Sungai Perak.

“Selain itu, kita boleh memperkenalkan kepada pelancong tempatan dan asing dengan kegiatan ekonomi penduduk di sini yang menoreh getah untuk sumber pendapatan.

“Difahamkan, ramai pelancong datang ke kampung ini bersama keluarga untuk merasai sendiri pengalaman tinggal di kampung tradisional Melayu apabila mereka menghantar anak pulang ke asrama di Lenggong,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Homestay Kampung Beng di Kampung Batu Ring, dekat Lenggong, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry dan setakat ini, terdapat seramai 27 pengusaha menyertai program homestay Kampung Beng yang ditubuhkan sejak 2007 lagi.

Sementara itu, Hamidah berkata, kerajaan negeri turut mengumumkan peruntukan bernilai RM30,000,  termasuk RM10,000 untuk mengisi tabung homestay Kampung Beng dan bakinya untuk melaksanakan program yang bersesuaian.

Katanya, kerajaan negeri turut menerima beberapa permohonan baru untuk menambah bilangan homestay di Perak yang bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

“Untuk diiktiraf sebagai homestay baru, syarat yang ditetapkan Kementerian Pelancongan ialah mesti ada kelompok tertentu dengan minimum 10 buah rumah dan program yang unik untuk diketengahkan seperti hidang kelemai di Homestay Gopeng.

“Setakat ini, kita menerima tiga permohonan untuk mewujudkan homestay baru di Perak yang mana program ini adalah antara perkara yang diberi tumpuan oleh Kementerian Pelancongan untuk menarik kehadiran pelancong ke Malaysia,” katanya.

Selain Homestay Kampung Beng, Perak mempunyai lima lagi homestay iaitu Bukit Gantang, Selama, Sungai Klah, Bagan Datoh dan Gopeng.

Kampung Beng yang terletak di Mukim Durian Pipit, adalah sebuah perkampungan tradisional Melayu yang  terletak di pinggir Tasik Chenderoh.

Perkampungan ini berada di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di pertengahan Banjaran Titiwangsa yang terdapat Hutan Simpan Bintang Hijau.

Populasi penduduk di Kampung Beng adalah seramai 896 orang dengan 195 buah rumah di atas keluasan 3.9188 hektar dan terdapat enam perkampungan kecil yang membentuk Kampung Beng iaitu Kampung Durian Lubuk, Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Batu Ring.

Jarak kampung ini dari Ipoh adalah kira-kira 60 kilometer, manakala dari Kuala Kangsar 35 kilometer serta mengambil masa selama 35 minit untuk sampai ke sini. Keindahan dan keunikan homestay (rumah inap) Kampung Beng menjadikan penginapan desa ini popular di kalangan penerbit filem untuk dijadikan lokasi penggambaran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");