Isu Panas

Desakan Anwar serah DNA bergema di seluruh negara

Siri demonstrasi di seluruh negara menyemarakkan lagi desakan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) pada Ahad. Bermula dari depan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hinggalah ke Jelutong, Sebarang Jaya, Parmatang Pauh, Alor Setar, Syahbandar di Terengganu dan Ipoh Perak.

Desakan yang semakin bergema itu kerana makin ramai yang muak dengan berbagai-bagai ding dong perbicaraan kes liwat kedua membabitkan Anwar dengan pengadu Mohd Saiful Azlan Bukhari yang sudah berlarutan lebih dua tahun.

Ini berikutan minggu lalu, buat pertama kali dalam sejarah perundangan negara, pihak pendakwaan dalam kes liwat Anwar terpaksa memohon perintah agar mahkamah mengarahkan Ketua Pembangkang itu memberi sampel darah untuk dibuat ujian DNA.

Di Petaling Jaya, kira-kira 50 orang yang mewakili 30 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun sejak pukul 12.00 tengahhari kira-kira 100 meter dari Ibu Pejabat PKR di Merchant Square.

Mereka kemudiannya berarak ke bangunan ibu pejabat itu sambil memegang sepanduk yang tertera perkataan “Kalau tak salah kenapa tak bagi sampel DNA?”, “Anwar Pengecut” dan “Hanya DNA boleh tentukan siapa benar siapa salah”.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata Anwar tidak harus menggunakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang untuk meremehkan peraturan undang-undang demi mengaburi mata rakyat.

“Kita juga mendesak badan kehakiman supaya tidak “double standard” dalam isu ini. Kami rasakan bahawa keadilan tidak hanya diberikan pada Orang Kena Tuduh tetapi juga keadilan diberikan pada mangsa iaitu Saiful Bukhari yang menjadi mangsa liwat, seks di luar tabie ini,” katanya.

Pengerusi PERKASA Selangor Abdullah Mansor pula berkata Anwar perlu tampil menyerahkan sampel DNA beliau jika merasakan dirinya difitnah.

“Berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau benar dia tidak bersalah, kenapa susah sangat nak bagi DNA dan lakukan sumpah laknat yang sudahpun dilakukan oleh Saiful,” katanya.

Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Abu Hanifah berkata Anwar, yang kononnya memperjuangkan keterbukaan, harus juga terbuka dalam menghadapi kes beliau itu.

“Kami juga mahu perbicaraan kes ini dibuat secara terbuka. Rakyat perlu tahu kebenaran sama ada beliau layak atau tidak jadi pemimpin negara,” katanya.

Sementara itu, di Ipoh, di depan pejabat PKR dan DAP Perak, satu perhimpunan yang sama turut dilakukan.

Dalam bantahan tersebut kesemua mereka menggesa Anwar untuk berani menyerahkan DNA beliau seperti yang diminta pihak pendakwaraya mahkamah tinggi bagi membuat perbandingan sama ada terdapat persamaan dengan identiti lelaki Y atau tidak.

Blog Peraktoday melaporkan, wakil kumpulan bantahan tersebut, Zahari Yahya memberitahu apa yang rakyat mahukan hanya penjelasan daripada Anwar mengenai kedegilan dan keengganan beliau untuk menyerahkan DNA.

Selain itu katanya lagi, desakan itu dibuat bagi menyelesaikan kecelaruan dikalangan rakyat berhubung identiti Lelaki Y yang sehingga kini masih belum dikenalpasti.

“Saya tidak faham mengapa Anwar masih enggan menyerahkan DNAnya kepada pihak berkuasa mungkin DNA lelaki Y itu adalah miliknya dan sebab itu dia begitu takut untuk berbuat demikian.

“Kami rakyat Perak menuntut parti PAS, PKR dan DAP untuk mendesak Anwar sebagai ketua pembangkang menyerahkan DNA beliau dan janganlah berselindung disebalik kebenaran yang sebenar.

“Kalau Anwar benar-benar merasakan dirinya tidak bersalah dan pemimpin pembangkang yang lain juga merasakan begitu maka tidak salah untuk beliau perlu menyerahkan DNAnya.

Menurut beliau lagi, sebagai pemimpin Anwar sepatutnya berani untuk menjelaskan keadaan sebenar dan bukanlah hanya memberi alasan yang tidak munasabah.

Menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang bacul, jelasnya, rakyat Perak tidak akan menghentikan desakan tersebut selagi beliau masih berdegil dan enggan bekerjasama dengan pihak pendakwaraya.

“Rakyat sekarang sudah sedar yang kita sekarang sedang berdepan dengan pemimpin yang bertopengkan Islam tetapi mempunyai sifat yang lebih teruk dari seekor binatang.

“Jadi sekiranya Anwar adalah anak jantan dia patut tunjukkan kebenaran dan serahkan DNAnya bagi mengenalpasti adakah benar DNA Lelaki Y itu adalah bukan miliknya.

“Kami mahu Karpal Singh, Nik Aziz, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk mendesak ketua yang mereka sayangi itu untuk menjadi anak jantan dan serahkan DNA beliau kepada pihak berkuasa jika tidak mereka juga boleh dianggap penakut dan bersengkongkol dalam kes liwat Anwar.

“Andai kata Anwar enggan memberi DNA, maka sahlah andaian bahawa DNA lelaki Y tersebut adalah DNA beliau.”

Turut serta lebih 7 NGO termasuk dari Persatuan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia dan Persatuan Silat Gayung Perak.

Selain itu, beberapa blog pro BN turut memuatkan laporan perhimpunan aman yang sama di seluruh negara.

Blog anginlautchinaselatan .blogspot.com misalnya menyiarkan gambar bantahan yang dilakukan di Syahbandar Terengganu.

Manakala blog Novandri pula menyiarkan gambar bantahan di masjid Jelutong.

Selain itu Agendadaily turut dimaklumkan bantahan serupa di depan Masjid Zahir Alor Setar yang disertai 200 orang dan diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Kedah Badrul Hisyam bin Hasyim.-13/3/2011

Wanita Perak desak Anwar tampil beri sampel DNA secara sukarela

Wanita UMNO Gopeng,Perak membuat desakan terbuka agar Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil secara sukarela memberi sampel DNAnya bagi mendapat kebenaran keatas kes liwatnya.

Desakan itu dibuat menerusi satu demonstrasi aman semasa perasmian serentak mesyuarat cawangan Wanita UMNO Bahagian Gopeng Sabtu yang dihadiri kira-kiea 1,000 ahlinya.

Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Hamidah Osman menegaskan sudah tiba masanya bagi Anwar jika beliau betul-betul anak jantan dan benar harus secara sukerala beri DNAnya untuk dibuat ujian.

“Berani kerana benar…takut kerana salah,”ujarnya kepada para wartawan di lokasi majlis itu di Batu Gajah.

Menurut beliau Wanita UMNO Perak bertindak demikian bagi mendapat kebenaran pantas. “Cukuplah kita lihat lakonan Anwar selama ini,”tegasnya.

Ini katanya untuk membolehkan rakyat tahu apakah kedudukan kes berkenaan.

Hamidah mengingatkan jika Anwar masih enggan berbuat demikian maka ia bakal mengesahkan andaian masyarakat bahawa DNA lelaki Y adalah DNA beliau sendiri.

Demonstrasi berkenaan juga mendesak agar isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya Nurul Izzah tampil bersumpah tidak pernah mengetahui perilaku Anwar yang didakwa melakukan seks di luar tabii.-12/3/2011

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");