Perak Hari Ini

Ketua Penerangan Wanita Umno pertahan desakan Anwar serah DNA demi keadilan

Kelantangan dan inisiatif bersungguh-sungguh Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman dalam memperjuangkan isu melibatkan DNA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian Dewan Pemuda Pas negeri yang memberi nama jolokan Wanita Besi: Hero Baru Umno Perak kepada pemimpin wanita itu.

Sambil merakamkan terima kasih kepada Dewan Pemuda negeri yang memberi gelaran itu, Hamidah yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno sebaliknya, menyindir Pas dan DAP yang seolah-olah seperti `besi sejuk’  kerana tidak berani menyatakan pendirian mereka terhadap desakan Anwar menyerahkan DNA kepada Mahkamah Tinggi secara sukarela.

“Ini bukan soal gender iaitu wanita atau lelaki tetapi apa yang kita lakukan ini hanyalah untuk menegakkan keadilan dan mencari kebenaran.

“Jika saya diberi jolokan Wanita Besi kerana lantang memperjuangkan isu ini, kita lihat Pas dan DAP pula hanya berdiam diri seperti besi yang sejuk. Langsung tidak berani membuat kenyataan,” katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas laporan dewan itu memberi jolokan Wanita Besi: Hamidah Hero Baru Perak di atas usahanya yang dilihat bersungguh-sungguh memperjuangkan isu yang melibatkan DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula di negeri ini.

Kenyataan itu juga menyebut hasil perancangan yang diatur Ketua Penerangan Wanita Umno itu juga dilihat semakin hebat dan mula merebak ke seluruh negara hasil kekuatan strategi yang dirancang Datuk Hamidah.

Dengan isu ini, Datuk Hamidah yang lebih dikenali sebagai perancang utama rampasan kuasa pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Perak kini bolehlah disifatkan sebagai ‘hero’ baru Umno.

Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Mohd Munir Ali dalam satu kenyaatan berkata, ini dapat dilihat dari kejayaan beliau mencipta sejarah dengan kehadiran seramai 1,000 orang perwakilan ke Perasmian Serentak Wanita Umno Bahagian Gopeng baru-baru ini di samping penganjuran  ‘Himpunan Aman’ membantah tindakan Datuk Seri Anwar dalam isu DNA dan termasuk juga mengetuai himpunan di Pejabat DAP, PAS dan PKR di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya kelmarin.

Sabtu lalu, seramai 1,000 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gopeng mengadakan perhimpunan secara aman hari ini bagi mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel bagi tujuan ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA) kepada Mahkamah Tinggi.

Perhimpunan tersebut berlangsung selama sejam di Arena Square Batu Gajah.

Ia diadakan bagi mendesak Penasihat PKR itu menyelesaikan segera kekeliruan di kalangan rakyat berhubung status DNA lelaki Y yang masih belum dikenal pasti.

Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman berkata, sekiranya Anwar masih enggan memberikan sampel DNA itu, maka ia bakal mengesahkan andaian masyarakat bahawa DNA lelaki Y tersebut adalah DNA beliau sendiri.

“Jika Anwar adalah anak jantan dan berada di pihak yang benar, beliau perlu secara sukarela menyerahkan sampel DNA. Jika masih berdolak-dalih dan menggunakan mahkamah, masalah ini tidak akan selesai.

“Cukuplah kita melihat lakonan Anwar selama ini. Dia suruh Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah dan telah pun melakukannya, kini mengapa pula beliau tidak mahu bersumpah? Mengapa tidak mahu beri kerjasama?,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");