Kolumnis

JIHAD PALING UTAMA IALAH LAWAN SYAITAN!!!

Penulis: Kelembai Bukit Untuk Perak Today

Kalau kita rajin membaca dan mengkaji al Quran, kita akan dapati Allah Taala hanya menyebut sekali sahaja tentang nafsu Ammarah bissu’ (jiwa yang mengajak kepada kejahatan) dan nafsu lawwamah (jiwa yang menyesali diri). Bagaimanapun, kita akan mudah menemui pernyataan-pernyataan tentang syaitan yang bukan main banyaknya, diulang-ulangi selalu yang mengingatkan kita tentang bahaya godaannya. Ini difirman dengan pelbagai cara dan gambaran yang beraneka ragam.

Pernahkah kita bertanya mengapa ianya berlaku sebegitu, seperti mana kita bertanya mengapa hudud dan qisas, jumlah yang disebut-Nya terlalu kecil berbanding bab muamalat (perekonomian) termasuklah timbang dan sukat?

Tidak lain maksud Allah Taala hanyalah agar kita umat manusia ini benar-benar mengambil perhatian yang sepenuh-penuhnya untuk menjauhi syaitan sebab hanya dengan cara itu sahaja letak keselamatan dan kesejahteraan kita, sekaligus menghindarkan kita daripada tersesat dan ditimpa kecelakaan.

Syaitan bukan seperti cerita di dalam filem yang boleh ditangkap dan dikurung di dalam botol. Bahkan syaitan itu sangat bijak menyeludup ke dalam jiwa dan hati manusia. Kerja syaitan dalam batin manusia adalah sebagaimana kerja virus di dalam tubuh. Virus itu sentiasa menantikan kesempatan yang baik, ia menunggu pada saat tubuh lemah. Maka pada ketikalah ia akan menghentam dan menyerbu tubuh tadi secara sekaligus, sehingga dengan sekali serangan, tubuh itu akan lumpuh, bahkan pada satu peringkat sehingga berjaya mematikan tubuh berkenaan.

Tubuh tadi tidak mungkin akan dapat melepaskan diri daripada serangan virus yang merbahaya melainkan apabila ia mempunyai penjagaan yang kukuh dan antibodi yang heba. Oleh sebab itu, tubuh yang baik perlu mempunyai keupayaan unutk mencegah, menghalang dan menggagalkan usaha virus tadi, bahkan untuk mengusir virus tersebut buat selama-lamanya.

Virus sebagaimana yang dihuraikan sifatnya di atas itu adalah sama dengan sifat-sifatnya syaitan. Bukankah syaitan itu juga selalu menantikan peluang yang baik, menunggu kelemahan jiwa dan kesakitannya dan setelah dirasakan lemah, lalu diserangnya serta diusahakannya supaya rosak, bahkan kalau mungkin akan dihancurkan untuk selama-lamanya menerusi ajakan dan perintahnya.

Sesungguhnya tidak ada jalan untuk menyelamatkan diri daripada serangan syaitan itu melainkan dengan jalan membersihkan serta menyucikan jiwa agar tidak terkena penyakit-penyakitnya. Sebab adanya penyakit-penyakit itulah yang merupakan jalan yang hakiki dan mudah bagi syaitan untuk melunaskan godaan dan rayuan kotornya pada jiwa manusia.

Penyakit-penyakit jiwa yang merupakan jalan masuknya syaitan laknat itu adalah segala macam kecelaan dan kecurangan manusia yang lazim tertanam dalam kalbunya. Inilah kekotoran yang secara mutlak perlu dibersihkan, sehingga tidak ada jalan lagi bagi syaitan untuk menerobosnya. Penyakit-penyakit yang terdapat dalam jiwa yang hakikatnya merupakan kecelaan dan kekurangan manusia itu antara lain termasuklah terpesona dengan keduniaan, ‘ujub, engkar pada kebenaran, tidak tahu berterima kasih, sukakan kekerasan sewaktu berbantahan, tertipu dengan perasaan diri sendiri dan sebagianya.

Itulah penyakit-penyakit hati dan jiwa. Dengan menerusi lubang-lubang itulah syaitan memasukkan jarum berbisanya ke dalam batin manusia, agar hancurlah segi-segi kehidupannya, lalu digoyahkan usahanya yang semula ditujukan ke arah keutamaan dan kemuliaan, kemudian dibelokkan ke arah yang berlawanan.

Maka dari itu, tidak ada jalan lagi untuk mengusir dan mengenyahkannya, tidak ada jalan untuk menyembuhkan penyakit was was serta ajakan penyelewengannya itu, melainkan jiwa itu sendirilah yang wajib dirawat, diubati dan diusahakan sekuat tenaga untuk melenyapkan bekas-bekas daripada kedurhakaan syaitan itu. Ini wajiblah dilaksanakan dengan bersungguh-sunguh sehingga jiwa itu benar-benar bersih daripada penyakit-penyakit tadi secara keseluruhan. Akhirnya akan kembali sihat walafiat dan menjadi jiwa yang tenang, tenteram dan rela menerima serta mengerjakan yang haq, benar dan baik.

Jikalau penumpasan penyakit-penyakit jiwa itu sudah dilaksanakan secara menyeluruh dan berhasil baik, maka akan muncullah dalam jiwa yang sudah bersih dan suci itu hal-hal yang baik-baik sahaja seperti sentiasa zikir atau ingat kepada Allah Taala, selalu mohon perlindungan Tuhan, mengakui bahawa tidak ada daya dan kekuatan pada dirinya melainkan dengan izin Tuhan serta menyerahkan bulat-bulat jiwar raganya kepada Dzat yang Maha Mengatur langit dan bumi ini.

Semua itu akan mengarah ke jurusan pengukuhan kebatinan manusia itu sendiri lalu mengangkatnya sampai ke tingkat alam rohaniah yang hakiki. Akhirnya manusia itu akan sampailah kepada darjat yang dia akan ditakuti oleh syaitan, sekalipun hanya menemuinya di jalan yang dilaluinya. Ini adalah sebagaimana yang sudah dicapai oleh Sayyidina Umar Al-Khattab r.a.

Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Umar r.a, yang bermaksud:

“Hai Ibnu Khattab, tidak pernah syaitan itu bertemu dengan engkau di suatu jalan, melainkan syaitan itu pasti mencari jalan lain, yakni yang berbeza dengan jalan yang kau lalu itu (kerana takutnya kepadamu).”

Alangkah bahagianya orang yang sudah ditakuti oleh syaitan, sehingga bertemu sahaja sudah enggan, sebab itu orang semacam ini sudah tidak mungkin lagi akan didekati oleh syaitan itu.

Ingatlah bahawa kebahagiaan manusia itu tidak mungkin dapat sempurna kecuali dengan jalan mengekang hawa nafsu dan menundukkan dengan jalan mengikuti wahyu Tuhan serta memerangi ajakan dan bisikan syaitan yang jahat.

Allah Taala berfirman yang maksudnya:

“Katakanlah: Ya Tuhanku, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada bisikan (tipuan) syaitan. Dan aku mohon perlindungan pula pada-Mu, supaya mereka jangan mendekati aku.” (Al-Mukminun: 97-98)

Allah Taala juga berfirman yang maksudnya:

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. “Katakanlah, aku memohon perlindungan kepada tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Daripada kejahatan godaan syaitan yang bersembunyi. Yang menggoda dalam dada manusia. Dari bangsa jin dan manusia.” (An-Nas: 1-6)

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");