Berita Hari Ini

Kemenangan BN Sebagai Pengesahan Dasar-dasar Kerajaan, Ekonomi Dan Sosial

Kemenangan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini dan DUN Kerdau membuktikan sebagai pengesahan kepada dasar-dasar kerajaan, ekonomi dan sosial di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada masa yang sama pengundi jelas menolak perjuangan PAS menerusi dasar buku jingga dan negara Islam.

” Ini isyarat perjuangan PAS tidak diterima oleh masyarakat Melayu, bukan sekali tetapi beberapa kali mereka ditewaskan di Galas, Batu Sapi dan hari ini di Merlimau dan Kerdau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kemenangan calon BN di pusat perjumlahan undi PRK Merlimau di Politeknik Merlimau di sini Ahad malam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata beberapa isu yang diketengahkan dapat dijelaskan kepada pengundi antaranya isu ekonomi, kenaikan harga barang dan juga soal pendidikan diterima baik.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan memperoleh 5,962 undi manakala Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Kerdau apabila calonnya Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan undi majoriti 2,724.

Syed Ibrahim memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 2,336 undi Muhyiddin berkata kemenangan BN malam ini yang amat signifikan dan merangsangkan juga manifestasi kepada suasana puas hati yang mengulangi momentum kemenangan pilihan raya kecil BN sebelum ini.

“Ini momentum yang baik di mana dasar pembangunan dan ekonomi yang dibawa oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Melaka dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob,” katanya.

BN PERTAHAN DUN MERLIMAU, KERDAU...Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad (empat dari kanan) meraikan kemenangan BN di DUN Merlimau manakala gambar bawah menunjukkan calon BN DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad (dua dari kanan) diraikan selepas menang dengan majoriti besar. - Foto NSTP

Ditanya kemenangan ini akan membawa kepada pilihan raya umum ke-13, Muhyiddin berkata walaupun kemenangan PRK ini menggalakkan tetapi ia boleh dikembangkan dan disebar-luaskan.

” Walaupun kemenangan PRK ini satu keputusan cemerlang tetapi tidak menggambarkan senario nasional secara keseluruhan,” katanya sambil manambah BN perlu mengukuhkan iniatif dan mesej yang difahami kepada pengundi di seluruh negara.

Beliau berkata “wallahhualam” ketika ditanya bila tarikh pilihan raya umum akan datang. “Pilihan raya umum akan dihadapi apabila jentera-jentera parti bekerja dengan lebih keras dan fokus serta tidak berbangkit masalah parti di peringkat bahagian untuk hasil yang kita capai membanggakan,” katanya.

Muhyiddin berkata kemenangan BN ini menggambarkan sokongan masyarakat Melayu dan masyarakat India yang amat baik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada parti komponen MIC, PPP (Parti Progresif Penduduk) dan Makkal Sakthi kerana peratusan (keluar mengundi) dan sokongan kepada BN,” katanya.

Beliau berkata sokongan kaum Cina menunjukkan peningkatan tetapi tidak sebaik undi yang diperoleh masyarakat Melayu dan India.

“Saya berharap pada masa akan datang undi kaum Cina ini akan lebih besar bila mereka memahami dasar-dasar kita,” katanya. Muhyiddin juga berkata pilihan raya umum hanya Perdana Menteri yang lebih maklum dan terserah kepada beliau.

Ditanya kemenangan itu juga berasaskan faktor calon muda yang diketengahkan oleh BN, beliau berkata itu juga merupakan satu fator tetapi yang jelas ialah calon mesti berwibawa, bersih dan boleh menang.

Sementara itu Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata beliau gembira dengan peningkatan sokongan yang diberikan oleh pengundi India di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata berbanding pada 2008, sokongan kaum India untuk BN kini mencecah 80 peratus.

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata beliau amat berpuashati dengan tugas yang dijalankan oleh jentera Wanita BN ini dan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada jentera wanita BN (Jalinan Rakyat BN) yang menjadi tulang belakang kepada kemenangan di kedua-dua Dewan Undangan Negeri, Merlimau dan Kerdau.

“Wanita BN melalui jentera Jalinan Rakyat BN telah berkempen dengan penuh disiplin, berhemah dan berkomitmen tinggi sekaligus mampu membawa kemenangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");