Perak Hari Ini

Kerajaan Perak lobi projek Sekolah Sukan Zon Utara

Kerajaan negeri diminta mengenalpasti kawasan seluas antara 20 hingga 40 hektar bagi membina sekolah sukan yang bakal dilengkapi dengan kemudahan padang dan trek balapan untuk zon utara tanah air.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika mendedahkan perkara itu berkata, jika projek itu dapat dibangunkan di Perak, ia akan menjadi sekolah sukan kedua selepas SMK Gunung Rapat.

“Kerajaan negeri sedang melobi projek membina sebuah sekolah sukan untuk zon utara yang berpusat di Perak.

“Kita yakin lebih ramai atlet muda dapat dilahirkan melalui projek sekolah sukan ini dan negeri Perak ingin turut sama dapat membantu negara memaju dan membangunkan bidang sukan,” katanya pada majlis Anugerah Sukan Negeri Perak dan Majlis Penutup Sukan Perak VI 2011 di Ipoh, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta mengambil bahagian dalam Sukan Perak (Super) bagi mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan dalam bidang sukan.

“Bilangan IPT yang menyertai Sukan Perak VI begitu memberangsangkan dan kalau boleh kita mahu jumlah ini bertambah lagi pada tahun mendatang,” katanya lagi.

Sementara itu, Daerah Kinta dinobatkan sebagai johan keseluruhan Super VI dengan membawa pulang 38 emas, 24 perak dan 29 gangsa.

Tempat kedua disandang Daerah Larut Matang dan Selama yang meraih 22 pingat emas, 16 perak dan 29 gangsa manakala Daerah Kerian muncul pemenang tempat ketiga dengan kutipan 15 pingat emas, 18 perak dan 22 gangsa.

Mohd Hakimi Ismail dari acara olahraga dan Shahirani Zafira Mohd Shahuddin dari acara memanah masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Super VI dengan membawa membawa pulang piala dan wang tunai RM2,000.

Bagi katogeri Anugerah Olahragawan Harapan MSN Perak, atlet ping pong iaitu Pooh Soon Cheong dipilih sebagai pemenang manakala pesilat Nur Saiditina Aifa Fauzi dinobatkan sebagai Olahragawati Harapan.

Pemanah, Hasli Izwan Amir Hasan pula dinobatkan sebagai Olahragawan Perak, menewaskan calon lain iaitu Koo Kien Kiat (badminton); Hafiz Adzha (menembak) dan Mohd Safwan Abdul Rashid (silat).  Sebagai pemenang, beliau membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM5,000.

Anugerah Olahragawati Perak pula diberikan kepada Noorfarahana Ismail yang mengharumkan nama negeri dan Malaysia dalam sukan silat. Antara kejayaan yang dirangkul ialah pingat emas pada pertandingan World Championship Silat (katogeri Puteri B) dan Kejuaraan Silat Kebangsaan ke 15 serta Sukan Malaysia 2010.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");