Perak Hari Ini

Kerajaan sedia berjumpa dan berbincang dengan Semangat Suwa- Dr Mah

Kerajaan Perak sedia berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan Semangat Suwa Sdn Bhd, pihak yang bertanggungjawab menguruskan 1,012 hektar tanah yang diperuntukkan kepada sembilan sekolah persendirian Cina dan dikehendaki membayar premium tanah yang bernilai RM2 juta sebelum penghujung Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon, berkata sebelum ini, pihak berkenaan pernah membuat rayuan kerana mendakwa kadar premium RM2,000 sehektar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri itu agak tinggi hingga membebankan mereka untuk menjelaskan bayaran mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Jika premium tanah bernilai RM2 juta itu gagal bayar dibayar sebelum penghujung Mac ini, kerajaan negeri mempunyai hak untuk menarik semula tawaran tanah yang diberikan kepada Semangat Suwa Sdn Bhd.

“Namun, kita sedia berjumpa dan berbincang dengan pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah ini secara baik demi pembangunan dan kemajuan pendidikan di Perak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri meluluskan sebidang tanah seluas 1,012 hektar di Besout, dekat Sungkai untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit bagi membantu sembilan sekolah itu memperoleh pendapatan bagi menguruskan sendiri perbelanjaan mereka.

Sembilan sekolah itu adalah SM Shen Jai, SM Yuk Choy dan SM Poi Lam di Ipoh; SM Nam Hwa (Sitiawan), SM Yik Ching (Pantai Remis); SM Pei Yuan (Kampar); SM Hua Lian (Taiping); SM Sam Min (Teluk Intan) dan SM Tsung Wah (Kuala Kangsar).

Dr Mah juga berkata, beliau percaya masalah itu dapat diselesaikan secara baik dan bayaran premium tanah itu bukan sumber untuk menambah pendapatan negeri.

“Selain sekolah Cina persendirian, kerajaan negeri juga memperuntukkan 607 hektar tanah kepada sekolah Tamil dan 2,023 hektar lagi disediakan untuk Sekolah Agama Rakyat  (SAR) bagi membantu meningkatkan taraf pendidikan kaum Cina, India dan Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri katanya, akan terus memberi bantuan subsidi kepada 184 sekolah Cina dan 134 sekolah Tamil untuk menjelaskan bil utiliti mereka tahun ini.

Katanya, sejumlah RM1 juta disediakan bagi tujuan itu dan Perak adalah negeri pertama yang menyediakan subsidi kepada kedua-dua sekolah berkenaan untuk membayar bil utiliti mereka.

“Untuk bil bawah RM200, kita beri subsidi 100 peratus dan untuk bil melebihi RM200, kerajaan negeri hanya membayar 80 peratus daripada jumlah keseluruhan bil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");