Isu Panas

Menang berganda bukti sokongan BN makin meningkat, kata Najib

Kemenangan berganda pada dua pilihan raya kecil serentak semalam mencerminkan trend aliran sokongan yang semakin meningkat untuk Barisan Nasional (BN) selepas Mac 2008, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sehubungan itu Perdana Menteri juga mengambil kesempatan untuk membidas Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa ramai orangnya sendiri dalam perikatan itu menganggap beliau sebagai satu liabiliti sekarang.

“Malah, saya dengar, PAS merasakan tidak selesa apabila beliau muncul ketika pilihan raya kecil. Ada yang menghantar mesej meminta agar beliau jangan datang.

“Jadi, ini menunjukkan di kalangan mereka sendiri, mereka tidak berkongsi keyakinan antara satu sama lain,” kata beliau hari ini.

Ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Najib yang juga Pengerusi BN berkata PAS berada dalam “keadaan tertekan” selepas penyokong-penyokongnya ragu-ragu dengan kerjasama mereka bersama DAP.

“Kemenangan malam tadi memperkukuhkan lagi trend semasa di mana sokongan BN semakin meningkat.

“Tambahan pula, dalam kedua-dua kemenangan, majoriti kami meningkat . . . ini bukan sesuatu yang berlaku di satu tempat, jadi ia menunjukkan peningkatan dalam trend sokongan kepada BN,” katanya lagi.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad menewaskan calon PAS Yuhaizat Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan memperoleh 5,962 undi berbanding Yuhaizad, 2,319 undi.

Di Kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hasanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim memperoleh 5,060 undi sementara  Hasanuddin 2,336 undi.

Najib juga berkata sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan, Perdana Menteri berkata BN akan terus berusaha mengukuhkan lagi prestasinya dalam melaksanakan janji kepada rakyat.

“Semakin hari kita dapat buktikan, apa yang kita janjikan dapat kita laksanakan. Saya percaya tahap sokongan dapat kita tingkatkan lagi. Apa isu yang ditimbulkan parti pembangkang, tidak diterima oleh rakyat kerana rakyat lebih melihat kepada jaminan masa depan mereka.

“Mereka yakin BN dapat memenuhi harapan dan jangkaan mereka untuk kecapi kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.

Najib berkata sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN juga mengalakkan, malah mereka juga spontan dalam menunjukkan kemesraan kepada BN.

Malah, Najib yang juga Presiden Umno berkata kejayaan BN pada kedua-dua PRK tersebut adalah berdasarkan beberapa faktor, termasuk jentera pilihan raya BN yang mantap selain pemilihan calon yang betul.

Justeru, katanya kriteria “calon boleh menang” akan terus ditekankan oleh BN dalam menentukan calon-calon untuk pilihan raya.

Najib mendakwa rakyat juga melihat dengan curiga kepincangan kepimpinan parti-parti pembangkang yang tidak sehaluan dan pakatan mereka yang rapuh.

“PAS dalam keadaan tertekan. Isu agama yang dimainkan oleh PAS tidak diterima. Hubungan mereka dengan DAP yang terlalu selesa dipandang dengan rasa curiga oleh orang Melayu,” katanya.

Menjawab soalan sama ada kejayaan ini petanda baik untuk kerajaan negeri Sarawak mengadakan pilihan raya negerinya, Najib bagaimanapun berkata pilihan raya kecil adalah berbeza dengan pilihan raya umum kerana ia mengambil kira beberapa factor termasuk isu tempatan.

“Suasana keadaan mesti ambil kira faktor tempatan, nasional dan juga negeri bila tentukan situasi dalam pilihan raya, sama ada menguntungkan kita atau sebaliknya. Kita mesti lihat isu tempatan peringkat negeri dan juga kepimpinan nasional,” katanya.

Sumber : /www.themalaysianinsider.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");