Perak Hari Ini

Perniagaan runcit jana pendapatan Orang Asli

Bagi masyarakat orang asli di perkampungan Sungai Pelantok, Chemor pembinaan sebuah kedai runcit di kawasan itu memberi rahmat kepada mereka untuk mendapatkan bekalan keperluan harian.

Melalui pinjaman Skim Mikrokredit Yayasan Bina Upaya (YBU), Achu Ngah 39 tahun berjaya membuka sebuah kedai runcit sendiri di kawasan perkampungan terbabit yang selama ini terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 7 kilometer semata-mata untuk membeli barangan runcit.

Dengan bantuan pinjaman sejumlah RM 15,000, Achu kini merupakan satu-satunya usahawan runcit di kampung tersebut.

Bagi Achu, saluran yang diberikan YBU itu merupakan titik tolak kepada dirinya untuk membantu masyarakat orang asli mendapatkan bekalan makanan dari luar selain menjadi contoh kepada golongan muda untuk menceburi dalam bidang perniagaan.

“Perniagaan kedai runcit ini telah dimulakan sejak bulan Januari lalu dan setakat ini perniagaan saya berkembang pesat dan mendapat sokongan penduduk kampung ini.

“Sebelum ini sukar untuk penduduk kampung mendapatkan bahan makanan jadi saya berharap dengan adanya barangan seperti beras, minyak, tepung serta sayuran mentah di kedai runcit saya selepas ini ia dapat memudahkan penduduk disini.

“Pihak YBU memberi latihan keusahawanan dari awal sehingga sekarang bagi membantu saya mempelajari selok belok perniagaan.

Jelasnya lagi, walaupun diperingkat awal dia merasakan kesukaran untuk memulakan perniagaan tersebut namun dengan kepercayaan, latihan dan pemantauan yang diberikan pihak YBU, pengurusan kedai runcit semakin teratur.

Tambah Achu, menerusi skim bantuan dia untuk membangunkan ekonomi sendiri tanpa sebarang tekanan pembayaran balik.

Ini kerana dia hanya perlu membayar pinjaman tersebut sebanyak RM 170 sebulan dalam tempoh 4 tahun.

Achu yang berterima kasih kepada pihak YBU kerana memberi peluang kepada dirinya untuk memajukan diri memberitahu selama ini dia hanya membuat kerja-kerja kampung dan hanya mengaut pendapatan kurang RM 400 sebulan.

“Apa yang saya harapkan kini perniagaan saya akan berkembang lebih maju dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat orang asli lain di kampung ini.

“Selepas ini saya merancang untuk mendapatkan lesen getah bagi memudahkan urusan penjualan getah di sini dan penduduk tidak perlu keluar untuk menjual hasil mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");