Isu Panas

Muhyiddin Bimbang Selangor Merosot Jika Terus Diperintah

Kemajuan Selangor sehingga dilabel negeri paling maju di Malaysia, mungkin terjejas dan merosot jika ia berterusan tidak diurus dengan baik oleh Pakatan Pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata banyak perkara dijanjikan pakatan itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum 2008, namun tidak ditunaikan sehingga menjadikan keadaan politik di negeri tersebut tidak menentu.

Bercakap pada Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kampung Pandan malam Selasa sempena lawatan sehari beliau ke Selangor, Muhyiddin berkata pelbagai lapisan rakyat mengalami masalah sejak pakatan parti PAS, PKR dan DAP memerintah negeri itu.

Muhyiddin merujuk peniaga yang kini berdepan masalah terutama bayaran premium premis perniagaan yang meningkat secara mendadak sehingga membebankan mereka.

“Waktu saya berjalan-jalan meninjau kedai-kedai di Tasek Permai, Ampang petang tadi, ramai yang kecewa kerana bayaran yang sebelum ini hanya kira-kira RM75,000 kini sudah meningkat hingga mencecah RM200,000. “Inilah akibatnya kalau pembangkang memerintah. Tapi (ketika) saya menjadi Menteri Besar di Johor dahulu, (jika) ada masalah seperti ini, saya akan turun padang dan kemudian membuat keputusan supaya ia diturunkan kerana sudah membebankan peniaga.

“Tapi kini, rayuan mereka tidak boleh dilakukan apa-apa kerana saya di kerajaan Persekutuan dan ini adalah kuasa Menteri Besar Selangor,” katanya ketika berucap di depan kira-kira 5,000 orang.

Muhyiddin berkata tindakan kerajaan negeri pimpinan PKR itu yang sewenang-wenangnya menabur janji ketika pilihan raya lalu juga dibuat tanpa memikirkan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi sekadar bagi memenangi hati rakyat.

“Membuat keputusan di dalam kerajaan adalah begitu sukar, bukannya mudah dengan membuat janji-janji. Ia perlu dilakukan dengan perancangan teliti kerana ia melibatkan masa depan negara.

“Ia juga melibatkan masa depan anak dan keluarga kita untuk dijaga kebajikan mereka pada masa akan datang,” katanya. Muhyiddin juga berkata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebenarnya sudah tidak layak duduk di kerusi itu kerana cubaan beliau meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak diluluskan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor selepas gagal mendapat majoriti dua pertiga.

“Keadaan itu sebenarnya boleh dianggap sebagai satu undi tidak percaya kepada Menteri Besar, jika Abdul Khalid seorang yang bertanggungjawab, beliau perlu meletak jawatan.

“Tetapi, ini tidak, ia terus ingin duduk sebagai Menteri Besar dan terus memimpin negeri Selangor,” katanya yang melawat Sijangkang, Jenjarom, Shah Alam, Kelang dan Ampang sebelum hadir ke Jamuan Rakyat 1Malaysia.

Program itu merupakan satu acara dalam program lawatan ke seluruh negara Muhyiddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun ini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");