Perak Hari Ini

Perak bakal ada Masjid dengan Senibina Tradisional Cina pertama Negara

Negara bakal memiliki satu lagi mercu tanda dengan pembinaan Masjid Cina di Ipoh yang berkonsepkan senibina tradisional kaum itu.

Fasa Pertama Masjid Cina atau Masjid Muhammadiah berkenaan yang memakan kos sejumlah RM3.8 juta itu dijangka bermula pertengahan tahun ini.

Pengerusi Persatuan Cina Muslim cawangan Ipoh, Datuk Dr. Fadzli Cheah Abdullah memberitahu pembinaan masjid berkenaan merupakan yang pertama di Malaysia dimana secara keseluruhannya ia menyerupai reka bentuk dan senibina tradisional Cina.

“Peruntukan untuk fasa pertama telah kita perolehi sepenuhnya… jadi pembinaan masjid ini akan dilaksanakan secepat mungkin dengan keluasan tanah 1 ekar.

“Kita berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Perak yang telah menyalurkan bantuan sebanyak RM2 juta dan RM1 juta yang kita peroleh hari ini diperuntukkan melalui Tabung Khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Memang kita mahu masjid ini mempunyai ciri-ciri budaya tradisional kaum Cina… kubah masjid ini juga kita akan bina menyerupai kubah masjid yang terdapat di negara China.

Tambahnya perancangan pembinaan masjid berkenaan yang telah dimulakan sejak 2009 lagi dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013 nanti.

Menurut Fadzli Cheah, apa yang diharapkan adalah masjid itu dapat menyatukan umat Islam di negara ini tanpa membezakan kaum serta budaya masing-masing.

Katanya lagi, Islam tidak membezakan kaum dalam ibadat.

Justeru katanya, masjid itu akan dibuka kepada seluruh umat islam dan bukanlah tertakluk kepada golongan Cina Muslim sahaja.

“Kita harap projek pembinaan masjid ini akan berjaya supaya kita boleh teruskan perancangan fasa kedua dimana sebuah Pusat Ilmiah dan Kebudayaan akan dibina bersebelahan masjid ini.

“Dengan adanya Pusat Kebudayaan ini pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan termasuk acara kebudayaan kaum Cina ketika Tahun Baru Cina dan Pesta Tanglung.

“Tidak bermakna seseorang itu tidak dapat menyambut perayaan kaumnya sendiri walaupun telah memeluk agama Islam,” katanya.

Setakat ini jelas Fadzli Cheah, dana sebanyak RM 3 juta lagi diperlukan untuk membina fasa kedua Masjid Cina ini.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menerima cek bantuan RM1 juta untuk menampung kos perbelanjaan Masjid Cina @ Muhammadiah di Tapah, Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");