Perak Hari Ini

Perak berdepan ujian getir

Perak bakal berdepan ujian getir pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2011 menentang Terengganu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini, biarpun menang 3-2 pada saingan suku akhir pertama di Stadium Perak.

Peraturan gol di tempat lawan turut memberi sedikit kesukaran kepada skuad Kejor Yob Kejor itu, tambahan pula ketika bermain di gelanggang lawan.

Perlawanan suku akhir pertama kelmarin bermula baik dengan menyaksikan asakan demi asakan dibuat oleh kedua-dua pasukan bagi mencari gol pembukaan.

Pada minit ke-14 Stadium Perak bergema dengan sorakan gembira penyokong apabila Isma Alif Salim meledak gol pendahuluan hasil rembatan deras dari luar kotak penalti yang sama sekali menewaskan penjaga gol Terengganu yang juga penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee.

Beberapa minit berselang, Isma Alif hampir menjaringkan gol kedua setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan Terengganu, namun sepakan lemahnya terus menuju ke dakapan Sharbinee.

Terengganu kemudiannya terus mengatur kembali serangan bagi mencari gol penyamaan dan mereka perlu menunggu hingga minit ke-40 apabila penyerang Abdul Manaf Mamat berjaya menewaskan penjaga gol Perak, Nasril Nourdin hasil hantaran silang rakan sepasukan bagi gol menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Saingan di babak kedua bertambah rancak dengan menyaksikan beberapa gerakan serangan menarik, namun kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol.

Sehinggalah pada minit ke-79, pemain sayap lincah Perak, Md Fazrul Hazli Kadri kembali menggamatkan stadium dengan gol kedua hasil tandukannya yang gagal diselamatkan Sharbinee bagi menjadikan skuad Kejor Yob Kejor itu, selesa mendahului 2-0.

Pada minit ke-83, penyerang Akmal Rizal Rakhli sekali berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan Terengganu sebelum merembat menewaskan Sharbinee buat kali ketiga.

Perak seterusnya mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan gerakan-gerakan yang lebih kemas dan tersusun.

Bagaimanapun, hasil sedikit kelekaan, Terengganu berjaya merapatkan jurang dengan gol kedua hasil rembatan kencang Reeshafiq Alwi pada minit-minit terakhir perlawanan bagi membawa bekal dua gol di tempat lawan pada saingan suku akhir kedua, di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Sementara itu, ketika ditemui, ketua jurulatih, Norizan Bakar berkata, anak didiknya diharap dapat memberi lebih tumpuan menjelang perlawanan suku akhir kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Katanya, kesebelasan pemain juga diingatkan untuk lebih bersedia selain sentiasa berwaspada pada perlawanan berkenaan.

“Saya tak dapat nak beri komen lanjut kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam masa sehari dua ni.

“Bagaimanapun, kita akan beri tumpuan kepada pasukan dan terus berusaha untuk menang pada perlawanan tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");