Perak Hari Ini

LAP catat untung RM105.58 juta tahun lalu

Lembaga Air Perak (LAP) terus mencatat rekod cemerlang dalam menguruskan sumber air negeri apabila keuntungan sebelum cukai dilaporkan meningkat kepada RM105.58 juta tahun lalu, naik 45 peratus atau lebihan RM32.75 juta berbanding RM72.83 juta pada 2009.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata jualan air LAP bagi tempoh sama juga meningkat kepada RM270.67 juta berbanding RM254.94 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM15.73 juta.

“Pencapaian tinggi ini diperolehi melalui tiga penyumbang utama iaitu peningkatan jualan air yang tinggi iaitu RM15.73 juta atau bersamaan dengan pertumbuhan 6.2 peratus.

“Ia turut disumbangkan juga oleh peningkatan faedah dan dividen disebabkan pertambahan dana LAP sebanyak 29.2 peratus iaitu bersamaan RM4.55 juta.

“Selain itu, penurunan kos operasi melalui pengurangan kos pembelian air pukal dari pihak pembekal berjumlah RM39.9 peratus atau bersamaan dengan RM23.54 juta turut menyumbang kepada peningkatan untung LAP tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat LAP di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, sehingga Februari lalu, LAP mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM19.75 juta berbanding RM19.27 juta pada tahun 2009, iaitu meningkat sebanyak 2.5 peratus.

LAP juga katanya, tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan memberi subsidi kepada rakyat miskin yang mendapat bantuan bulanan daripada tiga agensi iatu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Perak dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Ujarnya, sehingga 17 Mac lalu, bantuan subsidi LAP yang disediakan kepada rakyat miskin di Perak sudah membabitkan kos perbelanjaan sebanyak RM1.74 juta dengan 8,639 keluarga mendapat manfaat daripada skim subsidi itu.

Tambah Dr Zambry, pada tahun ini, LAP akan meningkatkan liputan bekalan air ke kawasan luar bandar di bawah projek  Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Menurutnya, dengan peruntukan RM6.43 juta yang sediakan, kira-kira 100 kampung dan 1,710 buah rumah bakal mendapat bekalan air bersih dari projek LAP ini.

“Pada kebiasaannya, projek BALB dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pelaksanaannya dapat dipercepat dan diperluaskan dengan usaha yang dilakukan oleh LAP dan kita harap agar lebih ramai penduduk luar bandar menikmati bekalan air bersih selepas ini.

“Sehingga kini, kawasan liputan bekalan air bersih luar bandar di negeri Perak adalah sebanyak 98 peratus,” kata Dr Zambry.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");