Perak Hari Ini

Adun Pantai Remis tidak hormat dewan dan Pemangku Raja Perak: Speaker

Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming hari ini menerima kecaman Speaker, Datuk R Ganesan yang menyifatkan wakil rakyat DAP itu tidak menghormati  Sidang Dewan Undangan Negeri kerana gagal mengenakan pakaian istiadat pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, pagi tadi.

Beliau berkata, sebagai bekas exco dan menjadi wakil rakyat sejak 1999 lagi, Kor Ming seharusnya maklum peraturan pakaian yang harus dipakai pada hari perasmian sebaliknya beliau mengenakan long suit berwarna kelabu dan bukannya gelap.

“Pada hari perasmian sidang DUN yang disempurnakan oleh Sultan Perak, seseorang Adun itu perlu mengenakan pakaian istiadat tetapi hari ini saya lihat Kor Ming gagal berbuat demikian.

“Selaku wakil rakyat yang senior, beliau seharusnya mematuhi peraturan dari segi berpakaian dan walaupun ia bukan satu kesalahan, ia tidak sesuai digayakan pada hari perasmian yang dihadiri oleh Pemangku Raja,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Ganesan berkata, pada 2004, terdapat tujuh wakil rakyat dari pembangkang yang sentiasa menggunakan pakaian long suit pada sidang dewan tetapi apabila Pakatan Rakyat memerintah selama 11 bulan, kesemua wakil mereka menggunakan pakaian istiadat pada majlis perasmian sidang DUN.

Tindakan Kor Ming katanya, menunjukkan perangai dan sikap tidak hormatnya terhadap dewan yang mulia dan beliau akan memberi nasihat kepada wakil rakyat DAP itu agar mematuhi peraturan ditetapkan untuk majlis perasmian sidang DUN akan datang.

“Saya akan beri nasihat kepada Kor Ming dan apabila menghantar notis pemberitahuan sidang, saya akan mengatakan wajib untuknya memakai pakaian istiadat pada majlis perasmian sidang DUN akan datang atau beliau tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan jika gagal berbuat demikian,” katanya.

Beliau juga katanya, akan mengeluarkan notis kepada semua Adun agar mengenakan pakaian istiadat pada hari perasmian penggal akan datang dan berpakaian sesuai pada hari seterusnya bagi memastikan mereka dibenar memasuki dewan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Negeri yang juga Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar, berkata tindakan Kor Ming jelas bertentangan dengan prinsipnya yang selama ini memperjuangkan intergriti dan pemimpin berkualiti.

Katanya, perbuatan Ahli Parlimen Taiping itu juga boleh dianggap biadap dan menghina dewan kerana tidak memakai pakaian yang sewajarnya.

“Perlakuan Kor Ming itu tidak menghormati dewan dan kehadiran Pemangku Raja….. perkara itu tidak sewajarnya berlaku.

“Beliau mengenakan pakaian biasa yang langsung tidak melambangkan dirinya sebagai wakil rakyat yang berintergriti seperti yang sering diungkapkan selama ini.

“Kita dapat lihat bagaimana dua bekas Menteri Besar tahu cara berpakaian tetapi Kor Ming sebagai bekas exco yang sentiasa mencari kesalahan lain hari ini tiba-tiba terlepas pandang dengan melakukan kesalahan yang boleh dikatakan biadap dan menghina dewan,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");