Berita Hari Ini

BAM tentukan siapa terbaik

“BAM bakal menentukan siapa yang akan membimbing (Datuk) Lee Chong Wei dan jangan bebankan beliau lagi dengan persoalan itu,” tegas Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai.

Menurut Chin Chai, beliau sudah bertemu jaguh No. 1 dunia itu bagi membincangkan mengenai kedudukan jurulatihnya untuk menghadapi Sukan Olimpik London 2012, sejak Datuk Misbun Sidek menarik balik peletakan jawatannya, minggu lalu.

“Chong Wei menyerahkan sepenuhnya kepada BAM untuk menentukan siapakah yang terbaik buatnya dan sudah tentu kami akan membuat keputusan selepas mengadakan mesyuarat CTC (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) dalam masa terdekat.

“Saya harap semua pihak faham bahawa apa saja keputusan yang bakal dibuat nanti hanya berteraskan kepentingan negara dan mengambil kira perasaan semua pihak,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, Chong Wei mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan jurulatihnya.

Beliau, mengakui selesa bekerjasama dengan Tey Seu Bock dan Rashid Sidek sepanjang tempoh tiga bulan ketiadaan Misbun dan berharap proses itu tidak diganggu.

Justeru, kepulangan Misbun ke pangkuan skuad kebangsaan mungkin lebih terarah kepada membantu pemain-pemain skuad elit lain yang terdiri daripada Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Liew Daren serta Chan Kwong Beng, dan andai itu berlaku bermakna pasukan tersebut mempunyai tiga jurulatih dengan lima pemain untuk dikendalikan.

Menurut Chin Chai, isu siapa akan melatih Chong Wei dan apa posisi Misbun jika kembali ke BAM bakal diketahui dalam masa terdekat kerana beliau akan mengadakan pertemuan dengan jurulatih itu dalam tempoh seminggu ini untuk memperincikan mengenai skop tugas serta terma kontrak barunya.

Katanya, hasil rundingan dengan jurulatih itu kemudian akan dibawa ke mesyuarat CTC yang memegang kuasa untuk membuat keputusan akhir.

“Semua akan terjawab pada hari mesyuarat, sekarang adalah proses untuk kami mengkaji terma yang akan dimasukkan dalam kontrak baru itu nanti,” kata Chin Chai.

Difahamkan, kandungan kontrak baru Misbun adalah hasil perbincangan bersama di antara Chin Chai, selaku Setiausaha BAM dan Pengerusi CTC, selain Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Ketiga-tiga mereka mengadakan pertemuan semalam untuk mendapatkan perincian untuk dibawa kepada Misbun.

Bagaimanapun, tegas Chin Chai, ia cuma perbincangan biasa kerana pada akhirnya keputusan hanya akan dibuat oleh CTC dengan turut mengambil kira pandangan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai pihak yang menyalurkan dana.

“Sudah tentu pandangan Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah MSN) juga penting kerana MSN memberi dana kepada kita, termasuk membayar gaji jurulatih. Sebab itu, terma kontrak baru ini kena mengambil kira perasaan semua pihak sebelum persetujuan dicapai.”

Sementara itu Bendahari Kehormat BAM, Datuk Lim Teong Kiat mengakui, kemasukan semula Misbun dalam pasukan kebangsaan tidak akan menjejaskan kewangan badan badminton itu kerana beliau sudah berada dalam bajet awal sebelum memutuskan untuk meletak jawatan pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun ujar Teong Kiat, sama ada jumlah gaji yang bakal diterima oleh jurulatih tersebut adalah sama seperti pernah dinikmati sebelum ini atau sebaliknya, ia turut bergantung kepada MSN kerana gaji jurulatih berkenaan dibayar secara bersama oleh BAM dan MSN.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");