Perak Hari Ini

Jangan cabar saya, kata DS Zambry kepada pembangkang

Jangan cabar saya, demikian amaran keras Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung tindakan pembangkang khususnya DAP yang terus mempersoalkan isu memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan CVM Minerals Limited untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

Katanya, kerajaan mengambil tindakan segera membatalkan perjanjian itu kerana ia membabitkan soal keselamatan rakyat tetapi pembangkang nampaknya terus mempersoalkan isu itu semata-mata untuk meraih sokongan politik.

“Saya melihat DAP hanya bermain politik apabila memainkan isu ini kerana mempersoalkan bagaimana Menteri Besar tidak mengetahui perihal MoU antara PKNP dan CVM Minerals Limited selain mengatakan saya tidak layak dilantik memegang jawatan itu.

“Jangan cuba cabar saya dan berpolitik secara keterlaluan kerana masalah ini begitu serius kerana melibatkan rakyat. Apabila kita tahu mengenai perkara ini, kerajaan negeri bertindak segera tetapi pihak pembangkang memainkan isu ini untuk keuntungan politik mereka.

“Ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak, ada sebuah yayasan hampir disita oleh mahkamah kerana kerajaan waktu itu tidak mengambil peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka tetapi saya tidak mahu mendedahkannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun kepada bilal dan siak seluruh Perak di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Exco Pelaburan dan Industri negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata isu MoU itu telah dipolitikkan pihak pembangkang untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

Tegasnya, sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, pembangkang seharusnya tampil memberi cadangan dan bukannya dengan menganjurkan tunjuk perasaan bagi meraih perhatian rakyat.

“Isu MoU antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan CVM Minerals Limited hanya membabitkan perjanjian kerjasama yang memerlukan persetujuan pihak berkuasa kerajaan negeri sebelum meneruskan projek yang dicadangkan.

“Jika kerajaan negeri tidak bersetuju, maka perjanjian itu terbatal secara automatik,” katanya.

Beliau berkata, PKNP juga memiliki tujuh peratus daripada saham CVM Minerals Limited, iaitu anak syarikat kepada perbadanan itu.

Jelasnya, MoU itu juga adalah perjanjian dalaman antara kedua-dua pihak itu yang tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Namun, isu itu kata Hamidah sudah selesai apabila mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim semalam membuat keputusan menamatkan perjanjian dengan CVM Minerals Limited.

“Pihak pembangkang tidak seharusnya terus mengelirukan rakyat berhubung isu ini kerana perjanjian itu sudah dibatalkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");