Perak Hari Ini

Pergerakan Wanita UMNO mahu wakili 30 peratus calon bertanding PRU 13: DS Shahrizat

Pergerakan Wanita UMNO hari ini menyuarakan hasrat agar wanita diberi ditempat mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus daripada calon yang bertanding pada pilihanraya umum ke-13.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pada pilihanraya umum sebelum ini, wanita hanya mewakili kurang 10 peratus daripada calon yang bertanding.

Katanya, permintaan yang dikemukakan pergerakan itu juga munasabah kerana 51 peratus pengundi di Malaysia adalah terdiri kalangan wanita, sekaligus memberi isyarat politik bahawa suara golongan ini tidak boleh diketepikan lagi.

“Wanita UMNO berpendapat sudah tiba masanya untuk wanita berada di tempat sewajarnya walaupun Barisan Nasional (BN) sudah memberi polisi 30 peratus golongan wanita berada di tempat membuat dasar.

“Kita juga memainkan peranan penting dalam bidang politik dan saya berharap supaya Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita bertanding pada PRU -13 nanti.

“Ini kerana dalam UMNO dan BN, ada ramai wanita yang berkelayakan……saya juga mahu Pergerakan Wanita sentiasa bersiap sedia dengan bersatu-padu dan mengukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Gopeng, di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Gopeng, Datuk Hamidah Osman.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pengerusi parti komponen BN yang lain juga perlu memberi peluang kepada lebih ramai calon wanita untuk bertanding pada pilihanraya umum akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, permintaan itu berdasarkan kepada faktor termasuk wanita hari ini berpendidikan tinggi, berpengalaman dan mereka juga berkelayakan untuk diberi pertimbangan.

“Mana-mana parti yang tidak memberi ruang kepada wanita akan menghadapi risikonya kerana ia adalah realiti politik hari ini….permintaan Pergerakan Wanita itu adalah munasabah untuk pertimbangan sewajarnya kerana ia tidak menyulitkan mana-mana pihak,” kata Shahrizat lagi.

Mengulas persediaan menghadapi menghadapi PRU ke 13, beliau berkata, senarai nama calon daripada Pergerakan Wanita akan diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO apabila tiba masa yang sesuai.

“Bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang, tiga perkara perlu diambil perhatian oleh Pergerakan Wanita iaitu perpaduan, isu wanita dan keluarga perlu diambil kira dengan serius dan jentera parti ketika pilihanraya.

“Pergerakan juga perlu membuat persiapan ini dengan penuh berdisiplin, sistematik dan terperinci bagi menghadapi PRU ke 13,” katanya.

Persiapan ini katanya, perlu dilaksanakan di semua peringkat akar umbi yang menjadi tunjang kepada kekuatan parti di peringkat bahagian, negeri dan seterusnya kebangsaan.

Ditanya samada Presiden UMNO akan bersetuju dengan permintaan Wanita UMNO itu, Shahrizat menjelaskan kerajaan di bawah pimpinan Najib memberi penghormatan kepada isu wanita dengan sewajarnya.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang realistik dan begitu juga Wanita UMNO yang sentiasa bersiap sendiri menghadapi pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");