Perak Hari Ini

Kadar premium tanah SUWA diumum tidak lama lagi

Kerajaan negeri kini masih di peringkat perbincangan bagi menetapkan kadar premium tanah yang perlu dibayar oleh pihak pengurusan sekolah persendirian Cina (SUWA), demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, ada pihak sebelum ini mendakwa kerajaan negeri mengenakan kadar premium yang tinggi iaitu RM2 juta manakala kumpulan lain pula mengatakan pengurusan sekolah itu perlu membayar ratusan ribu ringgit di atas penganugerahan tanah terbabit.

Jelasnya, adalah normal bagi prosedur Pejabat Tanah dan Galian (PTG) membuat penilaian kadar premium bagi setiap tanah pertanian yang dianugerahkan kepada SUWA, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah Tamil.

“Penilaian yang dilaksanakan PTG ini bukan saja untuk tanah pertanian yang diserahkan kepada SUWA, tetapi juga SAR  dan sekolah Tamil. Penganugerahan tanah ini bertujuan membantu serta meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan rakyat pelbagai kaum di Perak.

“Selepas penilaian dibuat, ia akan dibentangkan dalam mesyuarat exco dan kita sudah pun mengadakan dua siri perbincangan mengenai perkara ini. Cuma tunggu masa yang sesuai untuk kita mengumumkan kadar premium yang perlu dibayar oleh pihak pengurusan SUWA, SAR dan sekolah Tamil,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri kata Dr Zambry, mahu menyelesaikan masalah itu secara baik dengan tidak mahu menguntungkan satu-satu kumpulan sahaja, sebaliknya untuk semua kaum di Perak.

Beliau turut membidas kenyataan pihak pembangkang yang mengatakan penganugerahan tanah kepada SAR dan sekolah Tamil turut dipelopori oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, memang tidak dinafikan Pakatan Rakyat yang mengumumkan pemberian tanah kepada SUWA tetapi adalah tidak benar pembangkang mempelopori  kaedah sama untuk SAR dan sekolah Tamil di negeri itu.

Pada mesyuarat Exco 14 April 2010, kerajaan negeri menganugerahkan tanah sebanyak 2,500 ekar (1,000 hektar) kepada sembilan sekolah persendirian Cina dan 1,500 ekar (600 hektar) untuk menjana pendapatan bagi menampung keperluan di sekolah-sekolah Tamil.

Selain itu, SAR turut dianugerahkan 2,000 ekar (800 hektar) tanah yang juga terletak berdekatan dengan Felda Besout untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam Perak sebagai pelaksana dalam membantu meningkatkan tahap dan pencapaian pendidikan sekolah itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");