Perak Hari Ini

Ketua Pembangkang hilang fokus bangkit isu lama: DS Zambry

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari kedua menyaksikan Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin seolah-olah kehilangan fokus selaku Ketua Pembangkang apabila membangkitkan isu lama serta nasional yang tidak mewakili kepentingan dan suara rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata hujah yang disampaikan oleh wakil rakyat Pas itu agak memeranjatkan kerana beliau menjangkakan mutu perdebatan yang baik  atau perkara bermanfaat dibangkitkan oleh Nizar pada sesi  Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Perasmian Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

“Agak memeranjatkan bagi saya apabila melihat bekas Menteri Besar itu hilang fokus kerana mengulangi semula isu ancak walaupun perkara itu sudah saya terangkan  secara panjang lebar berdasarkan kepada keputusan Mufti Perak.

“Beliau nampaknya masih tidak berpuas hati kerana terus membangkitkan isu ancak ini selain menyuarakan isu yang menjurus kepada persoalan nasional.

“Sebelum itu, beliau turut menuduh saya berbohong sambil bertempik-tempik seperti hilang rasional apabila membicarakan soal keselamatan pada sidang DUN yang didakwa berat sebelah…. ia satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berasas yang dijadikan alasan oleh pembangkang untuk menganggu perjalanan sidang,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Dr Zambry berkata, ahli dewan juga berasa hairan mengapa Nizar enggan memberi laluan kepada Adun Behrang apabila membahaskan isu rasuah sedangkan beberapa kali wakil rakyat Bebas itu bangun dan meminta laluan untuk bercakap dalam dewan.

Mengulas tindakan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming yang tidak memakai pakaian istiadat semalam, Dr Zambry berkata, walaupun tiada peraturan tetap diperlukan bagi tujuan itu, semua maklum bahawa pakaian nombor satu dipakai sebagai tanda menghormati pembukaan rasmi sidang DUN.

“Inilah yang menimbulkan sedikit tanda tanya kepada kita….ada seorang daripada wakil rakyat pembangkang tidak memakai pakaian istiadat sebaliknya memakai pakaian berwarna kelabu.

“Tetapi, saya tidak mahu menafsir apa yang dilakukan oleh Kor Ming itu dan mengapa beliau berbuat demikian,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");