Perak Hari Ini

Kehadiran pelancong luar negara meningkat

Dewan Undangan Negeri Perak yang bersidang hari ini dimaklumkan kehadiran pelancong luar negara yang melawat negeri ini tahun lalu meningkat kepada 175,000 orang berbanding hanya 163,000 pada tahun 2009.

Sehubungan itu, potensi sektor pelancongan yang memberi limpahan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan akan terus diterokai oleh kerajaan negeri.

Bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 15 projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan melibatkan perbelanjaan RM45 juta dan 10 projek penyelenggaraan serta naiktaraf dengan perbelanjaan RM11 juta telah dilaksanakan di Perak.

Pada tahun ini, sejumlah RM7.5 juta ringgit lagi akan dibelanjakan dalam usaha penggalakan pelancongan terutama aktiviti promosi dan acara terarah sebagai persiapan kepada Tahun Melawat Perak 2012.

Hutan Belum-Temenggor tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh lokasi eko-pelancongan negara di bawah projek Malaysia Mega Biodiversity Hub.

Sejumlah RM17 juta disediakan di bawah peruntukan Pihak Berkuasa Koridor Utara untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di kawasan Belum-Temenggor.

Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan dan para pengusaha penginapan, makanan dan pengangkutan serta pemandu pelancong yang kompeten juga berperanan penting membantu membangun dan memasarkan produk pelancongan negeri.

Faktor kebersihan kawasan, tempat penginapan, tandas awam, amalan kebersihan penyediaan makanan dan minuman, tahap keselamatan, pengangkutan awam serta persekitaran yang bebas jenayah adalah antara elemen penting yang wajib diberi perhatian oleh kerajaan negeri dalam usaha menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");