Perak Hari Ini

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-10 dari 5 hingga 15 Mei ini

Bandaraya Ipoh sekali lagi akan menjadi tumpuan dunia sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-10 yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah dari 5 hingga 15 Mei depan.

Pasukan Australia, selaku juara dunia akan turut berentap bersama Great Britain yang kini berada pada ranking keempat, Korea Selatan (keenam), Pakistan (kelapan) dan India (sembilan) manakala tuan rumah, Malaysia pula menduduki ranking ke 15.

Naib Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Datuk Abd Rahim Md Ariff, berkata orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan pasukan terbaik dunia beraksi dalam kejohanan itu.

“Kita berharap peminat hoki akan hadir beramai-ramai ke stadium setiap hari untuk memeriahkan kejohanan jemputan berprestij itu serta memberi sokongan kepada pasukan negara.

“Datanglah beramai-ramai sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara walaupun Malaysia belum pernah muncul juara….namun pasukan kita sudah beberapa kali berjaya ke final.

“Kali ini kita berharap untuk mencatat pencapaian lebih memberansangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis mempromosi kejohanan di Tol Ipoh Selatan, Ampang Lebuhraya Plus Selatan-Utara, dekat Ipoh, pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha PHM, Maninderjit Singh.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Hoki Perak merangkap Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkata, penonton juga berpeluang memenangi hadiah melalui acara cabutan bertuah yang turut menyediakan hadiah cincin berlian.

“Pihak penganjur sedang berusaha untuk mendapatkan tajaan daripada pihak Modenas,” tegasnya.

Pada majlis itu juga, Abd Rahim turut mengumumkan penubuhan kelab peminat hoki Perak (KPHP) yang diterajui oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Amaluddin Ismail yang akan menyemarak sokongan kepada pasukan hoki negara bersama kumpulan penyokong terdiri daripada pelajar sekolah.

Sementara itu, Maninderjit Singh, berkata pasukan Malaysia meletakkan sasaran berada dalam kelompok empat pasukan terbaik bagi kejohanan itu.

“Kejohanan kali ini disertai oleh pasukan-pasukan yang menduduki rangking tertinggi semasa. Justeru jika Malaysia mampu menamatkan cabaran dalam kelompok empat pasukan terbaik saya kira sudah cukup bagus,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");