Perak Hari Ini

Perak gandakan usaha cari peluang pelaburan baru

Kerajaan Perak sedang giat menggandakan usaha melalui misi ke pelbagai negara bagi mencari peluang-peluang pelaburan baru.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata setakat ini Perak bukan sahaja berjaya menarik pelabur luar negeri, malah pelabur-pelabur tempatan juga telah menunjukkan minat dan keyakinan yang tinggi terhadap negeri itu.

Jelas beliau, sehingga akhir 2010 nilai pelaburan yang diluluskan oleh pihak Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) bagi negeri itu telah meningkat dengan pesatnya.

Melalui peningkatan kepada RM3.039 bilion, kerajaan negeri memperoleh RM1.393 bilion dari pelaburan dalam negeri manakala RM1.646 bilion lagi hasil dari pelaburan asing.

“Apa yang lebih membanggakan jumlah yang kita terima pada tahun 2010 ini telah meningkat lebih tiga kali ganda berbanding hanya RM893 juta pada tahun 2009,” katanya.

Justeru katanya, bagi merancakkan pelaburan negeri terus meningkat kerajaan akan berusaha dengan lebih giat dan bekerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan bagi memastikan cadangan pelaburan yang telah diluluskan ini dapat dilaksanakan dengan segera, lancar dan telus.

Sehubungan itu menurut Zambry, peningkatan drastik nilai pelaburan ini sudah pasti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sekaligus meningkatan pendapatan rakyat Perak.

“Kita harap usaha ini dapat memberi manfaat  kepada syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan yang lain, termasuklah PNB dan syarikat-syarikat pelaburannya.

“Saya percaya, dengan kehadiran banyak institusi-institusi pengajian tinggi di negeri Perak ini, ditambah dengan langkah-langkah memartabatkan institusi pendidikan, sama ada di pihak Kementerian Pelajaran mahupun Kementerian Pengajian Tinggi, ia akan membolehkan negeri Perak melahirkan guna tenaga yang lebih berkaliber, yang boleh memenuhi permintaan dan keperluan industri berpotensi dan berdaya maju pada masa akan datang, terutamanya dalam bidang-bidang industri baru seperti bio-sains dan bio-teknologi, teknologi hijau, industri tenaga diperbaharui, industri makanan halal, farmasi moden,tradisional dan sebagainya,” katanya.

Setakat ini tambah beliau, Perak telah pun mempunyai lebih daripada 4,500 industri, yang mana kira-kira 450 dikategorikan sebagai industri besar, 1,500 sebagai industri kecil dan sederhana dan bakinya adalah industri desa.

Zambry berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");