Berita Hari Ini

Kekalkan BN demi masa depan

Rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-10, perlu memastikan Barisan Nasional (BN) kekal sebagai kerajaan bagi meneruskan usaha Malaysia untuk mencapai taraf negara maju dan menjamin masa depan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata ini kerana parti pembangkang berada dalam keadaan kucar-kacir dan jika diberi peluang membentuk kerajaan, impian rakyat Malaysia menjadi negara maju tidak akan kesampaian.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat Cina di Sarawak berfikir secara rasional dalam menentukan masa depan mereka dan tidak termakan umpan parti pembangkang.

“Walaupun sentimen pengundi di bandar berbeza, tetapi bagi memastikan kepentingan masyarakat Cina terus terbela, mereka perlu ada wakil dalam kerajaan negeri. Kita memerlukan kerajaan yang mewakili semua kaum di Sarawak. Sebab itu saya berharap mereka tidak termakan dengan mainan politik dan hasutan DAP kerana parti itu sebenarnya cuma mahu meraih undi.

“Masyarakat Cina juga tidak akan mendapat lebih manfaat daripada politik yang tidak menentu dan politik yang tidak stabil,” katanya selepas majlis pelancaran dan penyerahan Skim Pintar-Learning dan Sirim Robokit, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, di sini semalam.

Najib juga berkata, rakyat perlu sedar kegagalan pakatan pembangkang membentuk persefahaman dalam pengagihan kerusi membuktikan mereka tidak boleh menjadi alternatif kepada BN walaupun pada mulanya cuba mengatur barisan yang diharapkan dapat memberi tentangan kepada BN.

Beliau juga berkata, jumlah calon yang ramai bertanding pada pilihan raya kali ini memberi kelebihan kepada BN.
“Lebih ramai lebih baik sebab ini bererti undi mereka (pembangkang) akan berpecah, tidak tumpu kepada seorang calon (pembangkang) saja,” kata Perdana Menteri sambil menambah beliau memang menjangka persaingan kali ini pasti sengit dengan pembangkang akan cuba mengatur satu barisan yang boleh memberi tentangan kepada BN.

Mengenai taktik DAP yang menggunakan propaganda ‘undi SUPP (Parti Bersatu Rakyat Sarawak) adalah undi untuk Taib (Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud)’ Perdana Menteri berkata, itu hanya mainan politik DAP dan berharap rakyat tidak termakan dengan hasutan seperti itu.

Beliau turut menegaskan, dakwaan calon bukan BN yang kononnya mendapat sokongan pemimpin parti di peringkat pusat tidak benar sama sekali kerana BN hanya menyokong calon menggunakan lambang dacing dan akan bekerja keras untuk memenangkan mereka.

Sementara itu, ketika berucap dalam program tinjauan mesra sekitar pasar Kota Sentosa yang turut disertai calon BN bagi DUN Kota Sentosa, Datuk Alfred Yap, Perdana Menteri meminta masyarakat Cina terus memberi sokongan kepada BN demi memastikan kelangsungan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Beliau memberi jaminan, akan secara peribadi melakukan yang terbaik bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara serta adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Orang Cina pandai berniaga dan sentiasa mahu untung, tapi jika dasar negara tidak baik macam mana hendak berniaga? Sudah tentu (orang Cina) tidak mahu rugi. Oleh itu perlu buat pilihan bijak, orang lain (pembangkang) boleh cakap, tapi BN boleh beri jaminan.

“Sekiranya orang di sini sokong BN, kita akan pastikan kawasan ini membangun dengan maju dan pesat,” katanya yang meluangkan hampir sejam beramah mesra dengan penduduk serta melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Hap Hin.

Sumber : BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");