Berita Hari Ini

Keputusan Pilihan Raya Sarawak Penentu Tarikh Pilihan Raya Umum, Kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Kami lihat Sarawak (pilihan raya negeri) dulu dan selepas tu barulah kami putuskan bilakah waktu terbaik untuknya (mengadakan pilihan raya umum ke-13). Kami ikut sistem British dan kami boleh putuskan bila hendak mengadakannya, asalkan tidak melebihi tempoh lima tahun,” kata beliau.

Dalam wawancara dengan Bloomberg mengenai pencapaian beliau setelah dua tahun menerajui negara yang disiarkan Jumaat, Najib ditanya sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya awal sekiranya Barisan Nasional (BN) mencapai keputusan cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Apabila diminta memberi bayangan bilakah pilihan raya umum akan diadakan, beliau berkata, “Ramai yang ingin tahu tentang perkara itu, jadi biarlah saya tidak beri jawapannya sekarang.”

Najib yang juga pengerusi BN, berkata parti gabungan itu telah mencatat keputusan cemerlang pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

“Sebenarnya, kami mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang daripada segi pilihan raya kecil. Beberapa pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini mempamerkan keputusan yang amat positif bagi kerajaan BN,” katanya.

N menang lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, termasuk lima yang dimenanginya dengan majoriti lebih besar pada 2010.

Ditanya sama ada beliau merasakan perlu mendapatkan mandat baru untuk melaksanakan program transformasinya dengan lebih selesa memandangkan beliau mengambil alih jawatan perdana menteri pada pertengahan penggal, Najib berkata jika diambil kira tentang perubahan yang dilaksanakannya, ia memang mendapat sokongan rakyat.

“Kami sudah buat banyak tinjauan dan setelah melalui beberapa pilihan raya kecil, ternyata rakyat menyukai apa yang dilakukan oleh kerajaan, kalau tidak, tak kan kami mendapat keputusan demikian.

“Mandat yang kami terima pada 2008 adalah untuk lima tahun. Oleh itu, saya tidak berasa perlu mendapatkan mandat untuk diri saya sebagai perdana menteri. Apabila tepat masanya, saya akan serahkan kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru untuk parti,” katanya.

Ditanya sejauh mana BN yakin akan memenangi pilihan raya negeri Sarawak, Najib berkata rakyat di negeri itu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka dan dalam konteks ini, mereka dapati hanya kerajaan BN yang mampu berbuat demikian.

“Setiap rakyat tentu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka. Saya rasa perkara ini paling penting bagi Sarawak kerana negeri itu memerlukan lebih banyak pembangunan prasarana dan kemudahan asas. Saya rasa rakyat Sarawak akan melihat Barisan Nasional sebagai satu-satunya kerajaan yang mampu berkhidmat untuk negeri itu,” katanya.

Najib berkata beliau tidak fikir BN menghadapi risiko kehilangan kuasa (di peringkat persekutuan) memandangkan dalam tempoh beberapa tahun lepas, semakin ramai rakyat yang memberi sokongan kepada BN.

“Mereka yang meninggalkan kami pada pilihan raya lepas kini kembali menunjukkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional. Ini tidak bererti kami boleh mengambil mudah. Pada setiap pilihan raya, pasti ada cabarannya,” kata beliau.

Najib berkata beliau berpendapat pilihan raya umum akan datang pasti sengit dan BN perlu bersiap sedia untuk menghadapinya.

Ditanya sejauh mana beliau yakin BN akan mendapat majoriti dua pertiga untuk membolehkan parti itu meluluskan sesuatu undang-undang dengan mudah, perdana menteri berkata perkara paling penting ialah mendapat kemenangan besar untuk memudahkan kerajaan bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

“Di negara demokrasi yang sudah matang, memang sukar untuk memperoleh majoriti besar. Lihat saja Australia dan kebanyakan negara lain. Oleh itu, persoalannya ialah sama ada majoriti dua pertiga merupakan objektif yang realistik memandangkan Malaysia juga sebuah negara demokrasi yang sudah matang. Kami akan melakukan yang terbaik dan sudah tentulah kami juga mengharapkan akan mendapat majoriti dua pertiga,” katanya.

Ditanya apakah ukuran beliau tentang keputusan pilihan raya yang baik, Najib berkata di Malaysia, secara tradisi, tanda arasnya ialah kemenangan dengan majoriti dua pertiga.

“Jika mahu membuat perubahan struktur dan dilihat pada negara demokrasi di seluruh dunia, sesetengah orang menyifatkan kemenangan dengan majorti selesa sebagai keputusan pilihan raya yang baik,” kata beliau.

Najib berkata BN, yang kembali berkuasa tetapi kehilangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008, yakin akan menawan semula negeri yang telah dirampas pakatan pembangkang daripadanya dan perkara ini sememangnya menjadi matlamat parti gabungan itu.

“Kami telah tetapkan sasaran, tapi tidak mahu mengumumkannya sekarang. Kami yakin akan dapat menawan kembali negeri-negeri itu dan ada beberapa perkara yang perlu kami lakukan terlebih dulu kerana apabila berdepan dengan rakyat nanti, kami perlu pastikan semuanya berada dalam keadaan tersusun,” katanya.

BN mencatat kekalahan di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak pada pilihan raya umum 2008. Bagaimanapun, kini Perak kembali menjadi miliknya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");