Perak Hari Ini

Kurang keyakinan diri halang generasi muda berkhidmat secara sukarela

Kurang keyakinan diri dikenalpasti menjadi penghalang buat golongan muda di negeri Perak memberi khidmat secara sukarela, demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ujarnya, bagi mengatasi masalah itu, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) memperkenalkan program Gerak Sukarelawan Pimpinan Muda dengan harapan untuk melahirkan sukarelawan di kalangan generasi muda yang membantu mangsa kemalangan atau bencana alam.

Beliau berkata, program ini juga sebahagian daripada aktiviti YBUDR untuk mengupayakan generasi muda yang datang dari latar belakang berbeza dan kawasan yang jauh dari arus kemodenan.

“Kita juga mengenalpasti kawasan yang mana golongan muda perlu diupayakan dan ia mungkin disebabkan mereka jauh ketinggalan atau kurang pendedahan luar.

“Oleh itu, untuk mengupayakan generasi muda di negeri Perak, kerajaan negeri melalui YBUDR menggalas tanggungjawab ini dengan memberi keyakinan semula kepada diri mereka,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Terdahulu, Dr Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli menghadiri majlis makan malam sempena Program Gerak Sukarelawan Pimpinan Muda 2011 di kediaman rasmi Menteri Besar.

Seramai 200 peserta yang terdiri golongan belia dan beliawanis dari DUN Pangkor menyertai program tiga hari itu yang berlangsung dari 1 hingga 3 April.

Lima buah kampung dari DUN Pangkor menghantar wakil masing-masing termasuklah Kampung Teluk Gedong, Kampung Masjid, Kampung Sungai Pinang Besar dan Kampung Teluk Dalam.

Peserta yang menyertai program itu juga dipilih dari latar belakang yang berbeza seperti lepasan sekolah dan pekerja hotel di sekitar Pangkor.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, program seumpama itu dapat melahirkan golongan muda yang mempunyai nilai kesukarelawan.

Selain itu,  ia juga katanya, berupaya mendekatkan generasi itu dengan YBUDR dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan muda di Perak.

Majlis penutup program akan disempurnakan Pengerusi YBUDR, Datuk Saarani Mohamad jam 11.30 pagi, Ahad ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");