Berita Hari Ini

Kerajaan Peruntuk RM45.48 Juta Bagi Projek Pembangunan Di Belaga

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM45.48 juta kepada daerah Belaga di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi tahun 2011 dan 2012, kata Menterinya Datuk Seri Shafie Apdal Jumaat.

Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan bagi projek bekalan air dan elektrik serta perumahan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Saya telah memberi jaminan kepada penduduk di Belaga bahawa kami akan melaksanakan dan mengotakan apa yang telah dijanjikan sebagai kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika melancarkan perkhidmatan perkongsian perbankan antara Pos Malaysia dan Maybank di sini.

Beliau berkata semua kementerian dan agensi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai Indeks Prestasi Utama sendiri, dengan prestasi kesemua menteri dipantau rapi untuk memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan baik dan memenuhi harapan rakyat.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-10, beliau berkata Sarawak diperuntukkan RM5.76 bilion bagi projek pembangunan infrastruktur seperti projek pembinaan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta perumahan.

Ia termasuk pelaksanaan projek perumahan bagi kaum Penan di Long Urun dalam daerah berkenaan, yang kini siap 80 peratus, katanya.

Mengenai pilihan raya negeri, Mohd Shafie mengingatkan pengundi di kawasan DUN Belaga supaya tidak mengambil mudah kerana keputusannya akan menentukan masa depan negeri ini.

Beliau menggesa mereka supaya berwaspada dengan taktik dan sentimen yang digunakan oleh pembangkang, yang boleh mengelirukan rakyat.

“Pembangkang hanya pakar dalam memanipulasi isu, janji dan menggariskan perancangan yang tidak realistik semasa pilihan raya namun terbukti bahawa selama ini mereka gagal untuk menunaikannya,” katanya.

Penyandang daripada BN Liwan Lagang berdepan pertandingan enam penjuru dengan John Bampa @ Tusau daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Basah Kesing @ Ali Basah Kesing (Parti Keadilan Rakyat) dan tiga calon Bebas iaitu Michael Jok, Matthew ak Munan serta Kenneth Adan Silek di kawasan DUN Belaga, yang mempunyai 8,463 pengundi berdaftar.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");