Perak Hari Ini

Komitmen jitu IPF pastikan BN terus unggul di Perak

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan ahli Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) akan meletakkan parti itu terus unggul di Perak pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya, semangat yang dipamerkan ahli IPF begitu tinggi dan selama ini mereka turut sama membantu calon BN berkempen pada setiap kali pilihanraya.

Selain itu, BN negeri katanya, akan menggunakan pendekatan merapatkan hubungan antara parti komponen bagi memastikan kekuatan sedia ada terus utuh.

“IPF bukan hanya parti baru tetapi mereka telah membuktikan bahawa ahlinya juga memainkan peranan dengan komited dalam membantu calon BN berkempen setiap kali pilihanraya diadakan.

“Komitmen IPF dan soal bagaimana mereka dapat membantu BN tidak timbul kerana mereka ini memainkan peranan penting di estet dan taman perumahan,” katanya kepada selepas majlis bersama lebih 2,000 ahli IPF Perak di Changkat Jering, petang tadi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Zambry berkata, perjuangan IPF dalam membela nasib kaum India kini lebih terarah selepas pergolakan parti dapat diselesaikan secara baik di bawah pimpinan Presidennya, M Sambanthan.

Katanya, kejayaan IPF menyatukan semula parti itu harus dijadikan contoh oleh parti politik lain kerana sanggup mengenepikan pertelingkahan demi membela nasib kaum India.

“Tiada siapa dapat menggugat kaum India di Perak jika mereka bersatu, melupakan perbezaan dan pertelingkahan demi masa depan.

“Walaupun pembangkang boleh memperkenalkan Buku Jingga untuk membela nasib rakyat tetapi apa yang mereka buat dalam tempoh 11 bulan memerintah Perak.

“Sebaliknya, kita menyediakan dana RM1 juta untuk membantu pelajar miskin dari kaum India selain menganugerahkan tanah kepada sekolah Tamil bagi tujuan meningkatkan kualiti pendidikan rakyat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, IPF perlu belajar daripada pengalaman lalu supaya dapat terus bersatu dalam menghadapi cabaran.

Ujarnya, BN Perak turut berharap agar kesediaan IPF membantu parti itu akan terus berkekalan di masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");