Perak Hari Ini

YBU beri harapan buat Sarimah miliki rumah baru

Dengan pendapatan RM3 sehari sebagai upah mengopek kerang, kehidupan ibu tunggal, Sarimah Abdul Aziz, 42, dari Kampung Menteri, dekat Kuala Sepetang ibarat pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Selepas kematian suami setahun lalu, ibu kepada empat anak itu tiada pilihan lain kecuali tinggal dalam rumah papan uzur yang hanya berlantaikan kulit kerang dan kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Dek kesempitan hidup juga, anak sulungnya, Muhammad Kamarullah Abdullah, 17, terpaksa tinggal dengan kakaknya manakala anaknya yang lain, Mohd Alif Najmi Norsham, Nurul Alis dan Nurul Ain Shuhada turut menjalani hari-hari mendatang dalam serba kekurangan.

Namun, di atas keprihatinan kerajaan negeri, kehidupan mereka sekeluarga bakal berubah apabila Yayasan Bina Upaya (YBU) diberi amanah untuk membina rumah baru buat Sarimah dan anaknya berlindung daripada panas dan hujan.

Kegembiraan jelas terbayang di wajah ibu tunggal ini selepas berita itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sempena lawatan turun padang di Kampung Menteri, petang tadi.

“Saya bersyukur kerana kerajaan negeri sudi membantu saya untuk membina rumah baru seperti yang diumumkan oleh Dr Zambry.

“Dengan pendapatan tidak seberapa iaitu sekitar RM100 sebulan, saya tiada pilihan lain sebelum ini kecuali tinggal di rumah uzur ini atas ihsan sanak keluarga yang juga bukan dari golongan senang.

“Walaupun menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, ia masih jauh daripada mencukupi bagi kami untuk menampung perbelanjaan harian yang semakin hari semakin meningkat.

“Tetapi, saya sekeluarga tetap bersyukur kerana mempunyai tempat berlindung walaupun keadaan rumah ini agak uzur dan hanya berlantaikan kulit kerang,” katanya kepada Peraktoday.com.

Sementara itu, jirannya, Siti Hajar Hassan, 40, berkata beliau begitu gembira dengan kehadiran Dr Zambry yang sudi meninjau permasalahan rakyat di kampung itu yang rata-rata bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak seberapa.

Katanya, selain masalah perparitan, penduduk juga mahu kerajaan menyediakan kawasan penempatan baru untuk mereka membina rumah sendiri.

“Sudah sekian lama kami di sini menanti untuk memiliki rumah di lot tanah yang disediakan kerajaan tetapi sehingga ke hari ini, ia nampaknya masih belum kesampaian,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan ringkasnya kepada penduduk Kampung Menteri, Dr Zambry walaupun Parlimen Bukit Gantang dan DUN Kuala Sepetang dikuasai pembangkang, kerajaan negeri tetap akan membantu serta berbakti kepada rakyat di kawasan itu.

Tegasnya, apa yang lebih penting ialah rakyat perlu sentiasa berpakat serta bersatu-padu dalam segala hal dan mengelakkan perpecahan sesama mereka.

“Masalah penduduk di kampung ini mendapat perhatian serius daripada kerajaan negeri dan kita akan mewujudkan penempatan baru bagi membolehkan rakyat miskin serta generasi kedua memiliki rumah yang selesa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");