Isu Panas

Lawatan Ke Sarawak Untuk Berjumpa Dan Ketahui Masalah Rakyat – Najib

Gambar Fail

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kekerapan beliau melakukan lawatan ke Sarawak akhir-akhir ini tidak sepatutnya dipersoalkan kerana beliau datang sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk berjumpa dengan rakyat negeri ini dan untuk mengetahui masalah mereka.

Perdana Menteri mempersoalkan kenapa pembangkang menjadikan lawatan beliau itu sebagai satu isu sedangkan mereka secara beramai-ramai datang ke negeri ini untuk berkempen bagi pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini.

“(Pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang, (Penasihat PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim berada di sini untuk berkempen. Lim Guan Eng meninggalkan tugas sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang semata-mata untuk berkempen. Anda patut tanya mereka terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Najib, yang menghadiri “Program Bersama Rakyat” di Sadong Jaya dekat sini hari ini, berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu yang dibangkitkan pembangkang bahawa kekerapan beliau melawat Sarawak akhir-akhir ini adalah bertujuan untuk berkempen untuk calon-calon Barisan Nasional (BN).

Najib berkata parti-parti pembangkang, terutamanya DAP, lebih agresif berkempen.

Sementara itu, Najib mengakui pilihan raya negeri kali ini adalah yang paling sengit dalam sejarah pilihan raya Sarawak kerana BN menerima tentangan yang cukup hebat daripada calon-calon yang bertanding.

Bagaimanapun, beliau yakin BN tetap mampu mencapai kejayaan dalam pilihan raya kali ini kerana kerjasama yang baik antara parti-parti komponen sama ada di Semenanjung ataupun di Sarawak.

“Saya dapati ramai yang lebih ke arah menyokong dan memilih BN. Kita (BN) bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membantu calon-calon kita dalam pilihan raya Sarawak.

“Kita tahu kekuatan kita di tempat kita menerima tentangan hebat. Kalau tak ada perkara yang luar biasa kita akan kekal tubuh kerajaan. Perkara pertama perlu dicapai adalah majoriti mudah untuk bentuk kerajaan.

“Kemudian kita perlukan dua pertiga untuk kita mudah mentadbir. Jangan tengok angka. Setiap pilihan raya ada turun naiknya. Kita ada sasaran tetapi tak perlu umum,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Najib meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 juta bagi membantu sekolah agama di Sadong Jaya selain peruntukan RM200,000 bagi membantu menyiapkan sebuah masjid baru yang sedang dalam pembinaan.

Beliau turut mengumumkan projek bagi mengatasi masalah tekanan air rendah sebanyak RM55 juta yang akan dilaksanakan dalam fasa pertama Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Turut hadir pada majlis itu adalah anggota Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");