Berita Hari Ini

Malaysia perlu agresif tonjol potensi – TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan bertindak lebih agresif bagi menonjolkan potensi ekonominya bagi menarik lebih banyak syarikat dari negara ini untuk datang melabur.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, walaupun China dilihat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi, Malaysia masih mempunyai kelebihan terutama dari segi kos yang rendah dan kerajaan yang menyokong pembangunan perniagaan.

“Mungkin ada pelabur senang berniaga di sini kerana ekonominya mantap dengan pertumbuhan dua angka sejak sekian lama serta kuasa membeli yang besar tetapi tidak ada sekatan daripada kerajaan mereka untuk melabur di luar negara.

“Kita juga sedar bukan mudah berurus niaga dan melabur di China kerana ada undang-undang pekerjaan dan buruh yang mungkin menyebabkan kos buruhnya bertambah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat meja bulat dengan peneraju industri di sini hari ini.

Mengulas pelaburan dari China yang masih rendah di Malaysia, beliau yang dalam rangka lawatan kerja seminggu ke negara ini memberitahu, terdapat pihak yang berpendapat Malaysia juga hampir kompetitif dengan China untuk membuat pelaburan.

“Pada peringkat awal pelabur datang ke sini untuk mengambil kesempatan daripada pasaran yang besar dan buruh yang ramai tetapi kini kosnya telah meningkat dan di sesetengah kota, ia lebih mahal dari Kuala Lumpur,” ujarnya.

Keadaan itu kata Timbalan Perdana Menteri, menunjukkan prospek untuk Malaysia menarik pelabur dari sini masih ada, cuma usaha yang lebih agresif perlu dilakukan bagi tujuan itu.

Terdahulu, Muhyiddin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalankan usahasama antara beberapa syarikat Malaysia dengan China.

MoU itu melibatkan WCL Global Corporation Sdn. Bhd. dengan Schneider Electric (China) Investment Co. Ltd. yang akan terlibat dalam kerjasama menghasilkan tenaga berkapasiti lima MegaWatt menerusi teknologi solar di Sarawak.

Metro Kajang pula menandatangani MoU dengan Guoao Investment and Development Co. Ltd. bagi meneroka peluang dalam bidang hartanah, manakala Imaprima Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan China Triumph International Engineering Co. Ltd. dalam industri simen di Malaysia.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba.

Muhyiddin sebelum itu turut bertemu dengan Datuk Bandar Shanghai, Han Zheng.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");