Perak Hari Ini

MCKK kian uzur diancam anai-anai

– Binaan ala greco-roman diambang musnah

Bangunan mercu tanda yang tersohor dengan binaan ala greco-roman kebanggaan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semakin mereput dan uzur dek ancaman serangan anai-anai yang serius. Berada diambang kemusnahan, ia semakin pudar bersama tarikan warisannya.

Nasib warisan negara ini agak menyedihkan apalagi MCKK didirikan pada 1905 adalah sekolah berasrama penuh ulung dan mencatat sejarah luar biasa sejak sekian lama. Pada 2005, ia diisytiharkan sebagai warisan negara dan baru-baru ini tersenarai sebagai Sekolah Kluster dan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Bahagian asramanya yang cukup dikenali dengan panggilan Sekolah Besar (Big School) iaitu di bahagian blok utama yang mengandungi 10 bilik asrama, kini diisytiharkan tidak selamat untuk didiami.

Pihak pentadbiran sekolah berkata, pelajar yang mendiami asrama ini sudah dipindahkan ke blok asrama lain sejak awal penggal persekolahan sebagai langkah keselamatan.

Hanya dewan makan utama yang terletak di tingkat bawah seksyen terbabit yang masih boleh digunakan, namun timbul kebimbangan terhadap nasib keseluruhan blok utama, identiti paling dikenali sekolah berasrama penuh berkenaan yang diserang teruk anai-anai pada siling dan papan lantai.

Serangan serangga perosak berkenaan turut memusnahkan satu lagi mercu tanda ikon di MCKK iaitu pokok hujan yang terletak bersebelahan dengan bilik utama. Cukup dikenali dengan nama big tree (pokok besar), ia juga menunggu masa untuk tumbang menyembah bumi.

Bertahun-tahun lamanya, pokok besar ini berperanan sebagai tumpuan utama atau garisan permulaan pelbagai aktiviti luar pelajar.

Pengetua MCKK, Anand Baharuddin berkata masalah serangan anai-anai mula dikesan tahun lalu.

“Selepas pemeriksaan oleh syarikat kawalan serangga perosak, terbukti hampir keseluruhan bangunan sekolah besar merangkumi 21 bilik asrama dihuni hampir 500 pelajar itu terjejas teruk,” katanya.

Biarpun program pembasmian dan rawatan anai-anai segera dijalankan, namun ia gagal menyelesaikan masalah itu. Usaha membuka tender baru cuba dilakukan untuk menyelesaikan serangan haiwan perosak berkenaan tetapi terhenti akibat masalah kewangan yang dihadapi pihak pentadbiran.

SUMBER: BERITA MINGGU

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");