Berita Hari Ini

Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sibu Tidak Dihentikan, Kata Kong Cho Ha

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini berkata kerajaan tidak menghentikan projek pembesaran lapangan terbang Sibu yang dibiayai kerajaan persekutuan disebalik kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu tahun lepas.

“Tidak dihentikan, projek itu masih diteruskan seperti dijadualkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembesaran Lapangan Terbang Sibu berharga RM130 juta yang bermula pada September tahun lepas.

Projek pembesaran lapangan terbang itu melibatkan projek menaik taraf bangunan Terminal, tempat letak kereta dan jambatan udara tambahan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2012.

Kong berkata projek itu telah dirancang beberapa tahun dahulu semasa mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew adalah Timbalan Menteri Pengangkutan dan anggota Parlimen Sibu.

Lau meninggal dunia pada 9 April, 2010, dan pilihan raya kecil diadakan di mana pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng mengalahkan calon BN Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.

Kong berkata tender bagi projek itu dipanggil pada tahun lepas dengan kerja pembinaan bermula pada September tahun lepas.

“Bangunan terminal dengan kapasiti 900,000 penumpang setahun telah melebihi had kerana lebih sejuta penumpang menggunakan lapangan itu pada tahun lepas sahaja,” katanya dan menjelaskan projek pembesaran dan naik taraf itu akan menjadikan saiz bangunan terminal dua kali ganda lebih besar.

“Dengan pembesaran ini, ia akan dapat menerima 1.9 juta penumpang setahun kerana lapangan terbang Sibu adalah lapangan terbang penting di kawasan tengah Sarawak dengan purata 23 penerbangan sehari,” katanya.

Selain daripada penerbangan ke semua bandar utama di Sarawak, Lapangan Terbang Sibu juga mengendalikan penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");