Perak Hari Ini

Murugiah sahkan terima surat tidak sambung Senator

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T. Murugiah hari ini mengesahkan menerima surat memaklumkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Negara yang tamat pada 17 April ini tidak akan disambung.

Beliau berkata walaupun mulai Isnin ini, beliau tidak lagi menjawat apa-apa jawatan kerajaan tetapi akan meneruskan khidmat kepada kerajaan melalui MIC dan Barisan Nasional (BN).

“Saya akur dengan keputusan parti, ini kerana telah ada peraturan dan perjanjian yang ditetapkan jelas yang seseorang ahli yang dilantik tidak boleh memegang jawatan itu lebih dari tempoh masa yang ditetapkan.

“Keputusan itu menjadikan saya orang pertama yang melaluinya dan sebagai ahli parti MIC saya harus mematuhinya demi kebaikan parti dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi dari sini hari ini.

MIC telah membuat peraturan supaya calon dari parti itu hanya dilantik sebagai Senator selama sepenggal. Murugiah kini berada di Sarawak membantu kempen pilihan raya negeri itu.

Sebuah portal berita semalam yang menyebut sumber-sumber MIC melaporkan Murugiah akan digugurkan dari Kabinet selepas kedudukannya sebagai Senator yang berakhir Isnin ini tidak disambung.

MIC juga dikatakan sudah mencalonkan Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk P. K. Suppiah bagi menggantikan tempat bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Rakyat (PPP) yang menyertai MIC tahun lalu.

Murugiah berkata beliau menerima keputusan yang dibuat itu dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua menteri dan timbalan menteri, kakitangan jabatan kerajaan dan swasta yang memberikan kerjasama yang amat baik ketika berurusan dengan saya terutama kepada bos saya Tan Sri Koh Tsu Koon( Menteri di JPM),” katanya.

Murugiah berkata beliau tidak pencen sebagai ahli politik sebaliknya akan menggunakan masa terluang yang ada untuk berkhidmat dan merapatkan diri dengan masyarakat bagi memastikan perancangan gagasan 1Malaysia terus berjalan lancar.

Walaupun berpeluang berkhidmat dalam tempoh yang singkat, beliau berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian Biro Pengaduan Awam (BPA) yang dikendalikannya sejak tiga tahun lalu yang kini semakin dikenali dan menjadi instrumen penting untuk menyampaikan masalah rakyat.

“Ini adalah tugasan terpenting yang diberikan Perdana Menteri kepada saya iaitu memastikan aduan dan permasalahan rakyat diterima dan diselesaikan dengan baik. “Sejak nombor telefon saya disiarkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina beberapa minggu lalu, saya telah melayan lebih 600 panggilan sehari dan ini menunjukkan BPA semakin mendapat tempat di hati penduduk negara ini,” katanya.

Murugiah juga meminta penyokongnya bersabar dengan perkembangan terkini itu dan menerimanya dengan hati terbuka kerana parti masih mempunyai ramai lagi pemimpin yang berkaliber, berdedikasi dan berpengalaman.

“Saya menerima lebih 1,000 khidmat pesanan ringkas (sms) hari ini..saya harap mereka terima berita ini dengan hati terbuka kerana saya juga boleh menerimanya,” katanya.

Sementara itu, Murugiah enggan mengulas mengenai desas-desus bahawa beliau akan disenaraikan sebagai calon oleh MIC pada pilihan raya umum akan datang.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");