Perak Hari Ini

Nizar kemuka usul bohong: Hamidah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sanggup berbohong sewenang-wenangnya ketika mengemukakan usul tergempar bagi membahaskan unsur kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan yang berkumpul tanpa permit di luar Bangunan SUK, pagi semalam.

Exco Kanan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat itu juga tidak sewajarnya berbohong dalam dewan mulia itu yang menjadi tempat membuat dasar dan membincangkan isu penting membabitkan negeri Perak.

“Nizar sanggup menjadikan dewan yang mulia sebagai tempat pembohongan secara terang-terangan dengan berani dan tanpa rasa bersalah apabila mengatakan ada penunjuk perasaan dimasukkan ke wad ICU.

“Beliau mengemukakan usul bohong untuk mengheret dan memberhentikan perjalanan dewan bagi membincangkan usul kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi di luar Bangunan SUK semalam.

“Sedangkan kita dapat maklumat bahawa demonstrasi itu dirancang oleh Ahli Parlimen Sungai Siput untuk menimbulkan huru-hara bagi menganggu perjalanan sidang DUN.

“Ketika kekecohan itu cuba dileraikan pihak berkuasa, ada seorang penunjuk perasaan tercedera ketika meronta-ronta dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar sahaja dan bukan dimasukkan ke wad ICU seperti didakwa Nizar,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Adun Sungai Rapat itu juga berkata, Nizar katanya boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana berbohong ketika membawa usul tergempar mengikut Perintah Tetap 36 (b).

‘Sebaliknya, kita tidak mahu terikut-ikut dan terheret dengan permainan pembangkang apabila Speaker mengemukakan usul Perintah Tetap 36 (a) terhadap Nizar kerana ingin fokus kepada membentuk dasar serta usaha membangunkan negeri,” jelasnya lagi.

Selain itu, pembangkang juga katanya seolah-olah sudah membuat perancangan rapi untuk membuat huru-hara ketika sidang DUN berlangsung.

Sebelum itu, Speaker, Datuk R Ganesan menolak usul Nizar dan berkata usul yang dibawa wakil rakyat Pas itu tidak diberi notis dan tidak perlu dibahaskan segera kerana banyak isu lain yang lebih penting.

Pada masa sama, Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham bertegas mahu membahaskan usul itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");