Berita Hari Ini

Pembangkang Umpama Kaca Mahu Menjadi Permata, Kata Taib

Tindakan pembangkang yang berjanji untuk menjadi kerajaan yang baik sekiranya mereka memenangi pilihan raya Sarawak 16 April ini umpama kaca murahan yang berpura-pura menjadi permata tulen, kata Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata percubaan pembangkang untuk mewujudkan sebuah barisan yang bersatu bukanlah untuk membentuk sebuah kerajaan dalam apa jua cara, sebaliknya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

“Mereka ini lebih teruk daripada orang yang mereka kritik,” kata beliau ketika berucap pada satu majlis di Kampung Bakam, kira-kira 25 kilometer dari sini.

Taib berkata ungkapan “ubah” yang dilaungkan oleh pembangkang hanya bertujuan memujuk pengundi supaya menyokong agenda mereka untuk menggulingkan BN tanpa mempunyai sebarang pelan komprehensif untuk mengubah kehidupan rakyat.

Satu undi yang diberi kepada mereka adalah undi ke arah ketidakstabilan dan masa depan tidak menentu. Perubahan yang mereka laungkan adalah perubahan ke arah ketidaktentuan, katanya.

Taib berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecewakan masyarakat Sarawak memandangkan beliaulah (Anwar) punca kelewatan penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), kerana menarik balik peruntukan bagi projek itu semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ini adalah perkara paling teruk yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin, kata Taib, sambil menambah Anwar sendiri tidak berupaya melakukan banyak perubahan di kawasan Parlimen Permatang Pauh sungguhpun beliau menjadi Anggota Parlimen di kawasan itu dan menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan selama 16 tahun.

“Saya hanya Ketua Menteri, sekurang-kurangnya saya berjaya mengubah kawasan luar bandar seperti Samarahan dan Mukah menjadi kawasan yang maju,” katanya.

Beliau turut membidas DAP, iaitu sebuah lagi parti pembangkang, kerana mengamalkan sikap kolonial dengan mempolitikkan isu agama dan perkauman pada pilihan raya ini, yang akan hanya mewujudkan syak wasangka serta memecah-belahkan masyarakat Sarawak.

Tindakan seperti itu akan mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan Taib berkata hanya menunggu masa sahaja bagi taktik pembangkang ini “memakan diri mereka sendiri.”

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");