Perak Hari Ini

Penjawat awam perlu jauhi rasuah – Raja Nazrin

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menasihatkan anggota kerajaan dan penjawat awam supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan tidak melakukan rasuah.

Baginda bertitah, perbuatan menyalahguna kuasa, mementingkan diri dan ahli keluarga dan paling jijik menerima rasuah, jangan sama sekali dilakukan.

“Insaflah. Bahawa jawatan dan kuasa datangnya daripada Allah sebagai ujian terhadap setiap insan. Ia bersifat sementara. Tinggalkan nama yang baik, laksanakan tanggungjawab dengan semangat melaksanakan amal makruf supaya mendapat keredaan Ilahi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, kekayaan bumi dan sumber manusia perlu digabungkan secara bijaksana dan harapan rakyat perlu diberikan ruang untuk berkembang.

“Kebahagiaan dan kesejahteraan, demikian juga keamanan dan ketenteraman, akan dapat dicapai apabila kemakmuran ekonomi berjaya diagihkan secara adil lagi saksama,” titah baginda.

Titah baginda, keamanan dan keselamatan adalah satu kemestian kerana keyakinan pelabur serta pelancong dari luar negara terhadap negeri dipengaruhi oleh indeks jenayah.

“Rasa resah rakyat terhadap insiden jenayah wajib ditangani. Insiden-insiden jenayah yang berlaku terutama jenayah jalanan dan ragut telah memberikan imej buruk negara di kaca mata umum,” titah baginda.

Titah baginda, Perak yang berkongsi sempadan dengan negara jiran, baik sempadan darat begitu juga sempadan perairan, turut terdedah kepada aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi.

Memandangkan tugas pasukan keselamatan yang semakin berat sedangkan bilangan anggota serta sumber terhad, baginda meminta rakyat membuktikan semangat patriotik dan sifat bertanggungjawab dengan tidak menambahkan beban pasukan keselamatan.

“Aktiviti-aktiviti politik yang keterlaluan yang boleh mengganggu ketenteraman awam apatah lagi yang melanggar undang-undang tidak wajar dilakukan,” titah baginda.

Sumber : Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");