Berita Hari Ini

Pembangkang Terus Ungkit Tempoh Pentadbiran Taib

Tempoh tampuk kepimpinan selama 30 tahun Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud terus menjadi isu panas parti pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu ini.

Sering kali, pemimpin DAP, tidak memanggil pemimpin berusia 74 tahun itu sebagai tokoh yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pesat Sarawak dengan namanya tetapi “pa moh” – merujuk keseluruhanya rambut Taib yang sudah berwarna putih.

Meskipun Taib telah mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada penggantinya, yang belum dinamakannya, pakatan pembangkang — DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS tidak berhenti untuk terus-terusan mencanang hal itu.

Kekeringan isu-isu besar untuk dijadikan modal kempen, parti pembangkang kelihatan menggunakan isu itu sebaik mungkin untuk menimbulkan sentimen, terutamanya di kalangan masyarakat Cina.

Bagi meredakan sentimen berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyatakan bahawa beliau dan Taib telah membincangkan tentang peralihan kuasa dan akan membuat pengumuman mengenainya pada waktu yang sesuai.

Bukan sahaja tempoh kepimpinan Taib yang lama itu menjadi perdebatan, parti pembangkang turut membangkitkan tempoh kepimpinan pemimpin kerajaan negeri yang lain khususnya kedua-dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan dan Tan Sri Alfred Jabu.

Dr Chan, merupakan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) manakala Jabu, seorang daripada dua Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak. SUPP adalah parti komponen kedua terbesar BN Sarawak.

Dr Chan berkata penyokong SUPP dan golongan yang bersimpati, kekuatan kepimpinan Taib masih diperlukan sekurang-kurangnya pada masa ini kerana Taib sentiasa mengambil pendekatan seimbang ketika menangani isu-isu etnik yang sensitif.

“Beliau boleh mengunjungi pelbagai tempat di negeri ini, sama ada rumah-rumah panjang atau rumah-rumah ibadat. Beliau seorang pemimpin sederhana yang menjalin hubungan dengan baik dengan pelbagai kumpulan,” katanya.

Bekas wakil rakyat Aidan Wing, boleh membuktikan sumbangan Taib.

Beliau berkata kerajaan telah banyak membantu pembinaan pelbagai rumah ibadat di negeri ini, seperti Gereja St Peter/St Paul di Mukah, satu kawasan pedalaman di wilayah tengah Sarawak.

“Bahkan Taib memberikan pandangan mengenai reka bentuk gereja bagi struktur pembinaan berfungsi lebih baik. Itulah sebabnya kami menjemput beliau merasmikan gereja itu,” kata Aidan, yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Sumbangan Gereja Katolik Mukah.

Tindakan sedemikian itu sangat baik untuk masyarakat di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai agama serta sebahagiannya masih ketinggalan, manakala kepelbagaian agama dan perbezaan langsung tidak menjadi satu isu.

Dalam konteks politik tempatan, kepimpinan Taib yang mantap berjaya mengekalkan status quo politik semasa daripada pengaruh luar.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang dilaporkan berada dalam barisan hadapan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Taib, berkata pakatan pembangkang sering menyerang pendirian sederhana kerajaan dalam hal-hal kaum dan agama.

“Apabila kami (pemimpin Islam) merasmikan gereja, mereka (pembangkang) kata kami bukan orang Islam. Apabila saya merasmikan sebuah sekolah Cina, mereka kata saya pro-Cina.

“Bagi kami di sini, ini suatu yang biasa tetapi bagi parti-parti pembangkang, mereka cuba mencipta isu dan memain-mainkan emosi di kalangan pelbagai kumpulan etnik,” katanya.

Ketua Publisiti SUPP Daniel Ngieng berkata alasan bagi DAP sering memilih isu “pa moh” bertujuan mencetuskan sentimen masyarakat Cina.

“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah sama ada kaum Cina mahukan perwakilan lebih besar dalam kerajaan bagi faedah jangka panjang mereka atau hanya mengikut emosi dan kemudian hilang segala-galanya,” katanya.

Ngieng berkata jika pembangkang mahu bercakap tentang Taib mengenai tempoh lama pentadbirannya, mereka perlu cermin diri sendiri dahulu.

“Mereka akan melihat pemimpin veteran masih sangat jelas menonjolkan diri seperti Lim Kit Siang yang mendominasi DAP selama 42 tahun dan Pengerusi DAP Karpal Singh, yang telah lama berada (dalam kepimpinan DAP) selama 32 tahun,” katanya.

Ngieng berkata DAP hanya bertanding 15 kerusi dan jika parti itu serius mahu menggulingkan Taib, parti itu sepatutnya bertanding di Balingian, kerusi yang dipertahankan Taib.

“Taib akan terus menerajui kepimpinan kerana 56 kerusi bumiputera berada dalam tangan BN. Itulah sebabnya kenapa kami percaya pembangkang ada agenda tersembunyi. Selepas pilihan raya, mereka akan kembali ke KL (Kuala Lumpur).

“Jadi, siapakah yang akan mempertahankan kepentingan masyarakat Cina di sini?” soalnya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");