Perak Hari Ini

Perak lokasi ke-12 MSAM selepas Sarawak

Perak menjadi lokasi ke -12  Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 (MSAM) yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional  Berhad (ASNB) selepas menjelajah Sarawak tahun lalu.

MSAM diperkenalkan buat julung-julung kali pada 2000 dan pada tahun ini, ia berlangsung di perkarangan Stadium Indera Mulia dan Kompleks Belia dan Sukan negeri di Ipoh, mulai semalam dan dijadual berakhir pada 26 April nanti.

Negeri lain yang terpilih menjadi tuan rumah MSAM sebelum ini ialah Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Setakat ini, program MSAM ini telah menarik kehadiran kira-kira dua juta pengunjung sejak ia diperkenalkan 11 tahun lalu.

Sempena MSAM 2011, pelbagai acara pendidikan dan perancangan kewangan diadakan untuk segenap lapisan masyarakat selain 187 gerai turut disediakan oleh 44 pempamer termasuk 12 rakan MSAM 2011, syarikat pelaburan PNB, badan kawalselia, agensi kerajaan serta ejen ASNB yang akan mempamerkan aktiviti perniagaan mereka kepada pengunjung.

Orang ramai yang ingin mengunjungi MSAM 2011 boleh menggunakan perkhidmatan 20 bas awam termasuk bas pengantara dan sembilan van berhawa dingin yang disediakan secara percuma bagi kemudahan pengunjung.

Perkhidmatan ini disediakan dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam sepanjang tempoh penganjuran MSAM 2011.

Ia meliputi kawasan sekitar bandar raya Ipoh seperti Pinji Mewah, Pasir Puteh, Bercham, Taman Bandar Baru Putra, Buntong, Taman Meru, Ampang, Ipoh Garden serta kawasan luar bandaraya seperti Menglembu, Batu Gajah, Kuala Kangsar dan Kampar.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak merasmikan MSAM 2011 di Stadium Indera Mulia yang turut disaksikan lebih 5,000 pengunjung dari segenap lapisan masyarakat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");