Berita Hari Ini

Pelabur Masih Ada Peluang Langgan 1.8 Bilion Unit Amanah Dana PNB

Pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera masih boleh merebut peluang untuk melanggan unit-unit amanah yang dianggarkan berjumlah lebih 1.8 bilion unit, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 876 juta unit Amanah Saham Nasional 3 Imbang dan 886 juta unit Amanah Saham Gemilang, masih boleh dilanggan.

“Masih banyak lagi unit-unit Amanah Saham 1Malaysia yang boleh dilanggan oleh Bumiputera dan kaum-kaum lain,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Minggu Amanah Saham Malaysia 2011, di sini Rabu.

Ahmad Sarji berkata unit-unit Skim Amanah Saham Bumiputera masih boleh dilanggan, bergantung kepada had pegangan maksimum 200,000 unit serta unit-unit Skim Amanah Saham Nasional seperti Amanah Saham Nasional 2 yang masih terbuka untuk Bumiputera.

Pada masa ini, bukan Bumiputera telah melanggan sepenuhnya unit-unit amanah berharga tetap yang diperuntukkan dengan jumlah pelaburan sebanyak 22.45 bilion unit, katanya.

Sementara itu, Ahmad Sarji berkata PNB menyasarkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang berkelayakkan untuk melabur dalam unit-unit saham amanah dan meningkatkan lagi purata pegangan pelaburan tiap-tiap pelabur dalam lima petunjuk prestasi utama (KPI) PNB.

Sehingga kini, unit yang telah dilanggan sebanyak 127 bilion, bilangan pemegang akaun meningkat kepada 10.4 juta, yang mana 9.2 juta merupakan Bumiputera dan 1.2 juta bukan Bumiputera. Secara purata, pegangan pelaburan bagi setiap pemegang akaun adalah 12,300 unit, katanya.

Beliau berkata PNB mahu memegang ekuiti dalam syarikat yang berada dalam sektor strategik ekonomi yang mampu menyalurkan dividen kepada PNB dan diagihkan seterusnya kepada pelabur.

PNB memiliki ekuiti dalam 225 syarikat yang terlibat dalam pelbagi ekonomi termasuk perbankan, takaful, kewangan Islam, perladangan, hartanah, pelabuhan dan logistik, automotif dan farmaseutikal.

PNB juga mahu memiliki modal saham atas kadar yang besar, kata Ahmad Sarji. Setakat 31 Mac ini, dana dalam pengurusan PNB bernilai RM189 bilion atau kira-kira 15 peratus daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia Kuala Lumpur.

PNB juga merancang memiliki hartanah di kawasan pertumbuhan ekonomi di bandar-bandar utama yang mendatangkan keuntungan.

Dari segi pemilikan hartanah, PNB melalui anak syarikatnya, Pelaburan Hartanah Nasional Bhd, menguruskan dua amanah pelaburan hartanah atau REIT bernilai RM1.24 bilion. Pemilikan hartanah secara terus oleh PNB pula bernilai RM2.87 bilion.

PNB juga berhasrat mengagihkan dividen dan bonus atas kadar yang kompetitif dan berjaya mengagihkan dividen dan bonus atas kadar yang kompetitif berjumlah RM82 billion setakat ini.

Terdahulu, Ahmad Sarji berkata kira-kira 8.8 bilion unit amanah saham telah dilanggan oleh lebih 889,000 rakyat negeri Perak dan dari segi ranking negeri, Perak berada pada tangga keenam.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");