Perak Hari Ini

Perak mahu peruntukan MCKK dilulus segera: DS Zambry

Kementerian Pelajaran diminta menyegerakan peruntukan bagi mengatasi serangan anai-anai yang menjejaskan struktur bangunan greco-roman Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah berasrama penuh tertua yang menjadi kebanggaan negeri Perak dan Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kementerian wajar memberi perhatian khusus kepada peruntukan RM1.4 juta yang dipohon pihak sekolah bagi mengatasi masalah itu.

“Kerajaan negeri merayu Kerajaan Pusat agar dapat menyelamatkan MCKK kerana ia merupakan institusi pendidikan yang menjadi lambang kebanggaan kepada rakyat Perak khususnya dan Malaysia amnya.

“Saya juga sudah mengarahkan Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi untuk memantau perkembangan sekolah ini dari semasa ke semasa dan bangunan tertentu di MCKK mungkin memerlukan pembaikan secara besar-besaran,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan bangunan mercu tanda yang tersohor dengan binaan ala greco-roman kebanggaan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semakin mereput dan uzur dek ancaman serangan anai-anai yang serius. Berada diambang kemusnahan, ia semakin pudar bersama tarikan warisannya.

Nasib warisan negara ini agak menyedihkan apalagi MCKK didirikan pada 1905 adalah sekolah berasrama penuh ulung dan mencatat sejarah luar biasa sejak sekian lama. Pada 2005, ia diisytiharkan sebagai warisan negara dan baru-baru ini tersenarai sebagai Sekolah Kluster dan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Bahagian asramanya yang cukup dikenali dengan panggilan Sekolah Besar (Big School) iaitu di bahagian blok utama yang mengandungi 10 bilik asrama, kini diisytiharkan tidak selamat untuk didiami.

Pihak pentadbiran sekolah berkata, pelajar yang mendiami asrama ini sudah dipindahkan ke blok asrama lain sejak awal penggal persekolahan sebagai langkah keselamatan.

Hanya dewan makan utama yang terletak di tingkat bawah seksyen terbabit yang masih boleh digunakan, namun timbul kebimbangan terhadap nasib keseluruhan blok utama, identiti paling dikenali sekolah berasrama penuh berkenaan yang diserang teruk anai-anai pada siling dan papan lantai.

Serangan serangga perosak berkenaan turut memusnahkan satu lagi mercu tanda ikon di MCKK iaitu pokok hujan yang terletak bersebelahan dengan bilik utama. Cukup dikenali dengan nama big tree (pokok besar), ia juga menunggu masa untuk tumbang menyembah bumi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");