Perak Hari Ini

Perak sedia lot tersusun tempatkan 776 rumah di sepanjang laluan keretapi Kuala Sepetang-Taiping

Penduduk yang tinggal di sepanjang laluan keretapi terawal yang menghubungkan Kuala Sepetang-Taiping kini mampu menarik nafas lega apabila kerajaan negeri akan menyediakan lot tersusun untuk menempatkan 776 rumah di kawasan itu, sekaligus menyelesaikan masalah mereka yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sejak sekian lama, kawasan di sepanjang laluan itu menjadi tempat tinggal masyarakat Cina, Melayu dan India.

“Kerajaan Perak telah membuat keputusan untuk menyediakan lot kepada penduduk terbabit selepas kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan semula tanah di sepanjang laluan keretapi Kuala Sepetang-Taiping kepada kerajaan negeri.

“Kita akan membuat lot secara tersusun di kawasan yang didiami penduduk ketika ini yang membabitkan kira-kira 776 buah rumah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama IPF Perak, di Changkat Jering, petang tadi.

Zambry juga berkata, tindakan segera kerajaan negeri itu  diharap dapat menggembirakan hati penduduk di kawasan terbabit.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Pusat kerana memandang serius masalah penduduk di situ dengan menyerahkan semula tanah di kawasan itu kepada kerajaan Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Perak juga katanya, akan mewujudkan penempatan baru bagi membantu rakyat di Kampung Menteri yang belum memiliki rumah akibat dihimpit kemiskinan dan kedaifan hidup.

Katanya, kawasan sekitar kampung nelayan itu juga amat menyedihkan dan masih ada rakyat yang dibelenggu kemiskinan melampau.

“Keadaan persekitaran kampung amat menyedihkan dan saya sudah mengarahkan tindakan segera bagi membantu rakyat yang memerlukan selepas melihat kesusahan serta kedaifan mereka.

“Beberapa tindakan segera akan diambil termasuklah menyediakan penempatan baru bagi penduduk miskin dan generasi kedua yang masih belum memiliki rumah,” katanya lagi.

Kedaifan ibu tunggal, Sarimah Abdul Aziz, 42, yang tinggal di sebuah rumah yang berlantaikan kulit kerang bersama tiga anaknya turut menyentuh hati Dr Zambry yang berkesempatan melawat rumah papan uzur itu yang didiami sejak lebih setahun lalu.

“Ini adalah contoh masalah rakyat yang dhimpit kemiskinan melampau kerana ibu tunggal ini tinggal dalam rumah yang berlantaikan kulit kerang dan terpaksa bekerja mengopek kerang untuk menyara tiga anak selepas kematian suami.

“Kes seperti ini perlu segera diberi perhatian dan Yayasan Bina Upaya (YBU) akan menghulurkan bantuan membina rumah baru di hadapan tapak sedia ada agar beliau sekeluarga dapat hidup dalam keadaan lebih selesa,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");