Perak Hari Ini

PIUP tawar RM1.5 juta dermasiswa kepada pelajar Perak

Kerajaan negeri menyediakan dermasiswa bernilai RM1.5 juta kepada 150 pelajar Perak yang bakal mengikuti kursus asas sains dan perniagaan di Premier International University of Perak (PIUP) bagi pengambilan sesi April dan Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sehubungan itu menggesa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri itu supaya menghantar  permohonan mereka untuk mengikuti kursus asasi sains dan perniagaan yang ditawarkan universiti berkenaan.

Katanya, permohonan dermasiswa dibuka tanpa mengira kaum dan jawatankuasa pemilihan akan diwujudkan bagi menilai setiap permohonan yang diterima berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan negeri termasuk memiliki keputusan akademik yang baik dan datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan sumbangan dermasiswa RM1.5 juta daripada PIUP yang kini beroperasi di bangunan sementara di Jalan Kampar dan kita berharap universiti ini dapat melonjakkan Perak sebagai negeri berteraskan ilmu pengetahuan.

“Bukan setakat pelajar tempatan, malah kita berharap universiti ini bakal menjadi tumpuan pelajar asing dari seluruh dunia dan menjadi pusat penyelidikan yang berupaya mengharumkan nama Perak dan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya di Ipoh hari ini.

Terdahulu, Dr Zambry menerima Biasiswa Program Asasi 1Malaysia yang disumbangkan oleh PIUP untuk pihak kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri kata Dr Zambry sudah meluluskan tanah seluas 100 hektar di sekitar kawasan Gua Tempurung bagi  membina kampus PIUP.

Beliau turut mengakui cabaran besar yang terpaksa diharungi kerajaan negeri dalam merealisasikan penubuhan universiti itu yang tidak hanya  bersandarkan kepada keuntungan semata-mata.

“Projek ini datangnya dari inisiatif pihak swasta yang ingin membantu Perak merealisasikan impian menjadi negeri berteraskan ilmu pengetahuan dan kita berada dalam posisi yang baik untuk menuju ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MIC negeri, Datuk S Veerasingam, berkata dermasiswa yang disumbangkan oleh PIUP akan dimanfaat pelajar yang mengikuti kursus asas dalam bidang sains dan perniagaan.

Katanya, sebaik selesai kursus asas, pelajar boleh mengikuti kursus lain yang ditawarkan di universiti terbabit termasuklah perubatan dan farmasi.

“Dengan kursus yang ditawarkan bersesuaian dengan kehendak pasaran kerja, kita yakin universiti ini akan menjadi tumpuan bukan sahaja pelajar tempatan tetapi juga pelajar antarabangsa,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");