Berita Hari Ini

PM Ketuai ‘Laungan Perang’ Ke Arah Mencapai Kemenangan Majoriti Dua Pertiga Sarawak

Ketika pilihan raya negeri Sarawak kini memasuki pusingan akhir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kemenangan dua pertiga kepada gagasan pemerintah itu Sabtu ini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, menggesa pengundi supaya terus setia dengan BN berdasarkan rekod pencapaiannya dan menantikan masa depan yang lebih cerah serta terjamin hasil kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kali ini walaupun pilihan raya ini saingannya lebih sengit daripada pilihan raya yang lalu,” kata Najib di sini.

Dengan tinggal hanya dua hari lagi untuk berkempan, Najib berkata BN perlu mempertingkatkan usaha untuk memenangi kerusi bandar di mana BN telah mengetengahkan calon yang penuh berwibawa.

Beliau menggesa pengundi bandar supaya mempunyai kepercayaan kepada BN memandangkan kerajaan telah mula melaksanakan program transformasi dan konsep 1Malaysia untuk memastikan semua kaum dilayan secara adil.

Perdana Menteri sendiri telah melakukan tinjauan mesra di kawasan kerusi bandar di Kuching, Sibu dan Miri untuk membantu menambat hati sebahagian besar pengundi Cina.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), perwakilan Cina dalam BN negeri, kalah enam kerusi kepada DAP pada 2006, dan mereka sekali lagi berjuang untuk memenangi hati dan minda pengundi Cina.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sentimen bagi ‘Gelombang Biru’, iaitu warna BN, semakin berkembang.

“Saya yakin bahawa dengan sokongan rakyat kepada calon BN, kami boleh mempertahankan majoriti dua pertiga,” katanya pada majlis tengah hari bersama 900 pengundi masyarakat di sekitar Bandaraya Miri.

Turut hadir Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan, yang juga calon BN bagi kawasan DUN Piasau, Datuk Lee Kim Shin (Senadin) dan Andy Chia Chu Fatt (Pujut).

Tanggungjawab terhadap BN di sini digalas oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Muhyiddin turut menggesa pengundi Cina supaya terus memberi sokongan kepada calon BN-SUPP supaya mereka turut dapat melaksanakan peranan penting dalam membela kepentingan masyarakat dalam kerajaan BN akan datang.

Tan Sri Adenan Satem, seorang tokoh politik veteran yang sangat dihormati di negeri ini, turut yakin bahawa BN akan terus menyerlah.

“Pembangkang kelihatannya seperti memberi cabaran yang kuat dan (mereka) boleh menang (beberapa kerusi) tetapi tidak cukup untuk menafikan majoriti dua pertiga kepada BN,” kata tokoh politik veteran berusia 67 tahun itu yang mengisi separuh daripada usianya dalam politik.

Adenan, yang mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu, berkata meskipun BN masih mempunyai penyokong tegar, undi akan berpecah dalam kalangan pembangkang memandangkan mereka gagal mencapai kesepakatan berhubung pembahagian kerusi disebabkan sifat tamak.

Mengenai tindakan pembangkang yang masih memainkan isu tempoh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud memegang jawatan, Adenan berkata ia bukan lagi satu itu memandangkan Taib sendiri telah menyatakan bahawa beliau akan bersara dalam masa setahun atau dua.

Semalam, Taib berkata beliau yakin BN akan memperoleh lebih daripada 48 kerusi yang diperlukan bagi majoriti dua pertiga memandangkan BN masih memperoleh sokongan di kawasan Bumiputera yang membentuk 80 peratus daripada kawasan pilihan raya.

BN menguasai 63 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan sekali lagi meletakkan calon bagi semua kerusi pada pilihan raya negeri kali ini.

Sebahagian besar pembangkang datangnya daripada parti yang berpusat di Semenanjung iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP yang masing-masing mempertaruhkan 49 dan 15 calon, manakala PAS pula bertanding bagi lima kerusi.

Parti Kebangsaan Sarawak, sebuah parti tempatan, bertanding bagi 26 kerusi selepas perbincangannya dengan PKR mengenai pembahagian kerusi gagal mencapai kesepakatan, manakala Parti Cinta Malaysia pula mempertaruhkan enam calon.

Pilihan raya itu turut mencatatkan rekod calon paling ramai, iaitu 213 orang, termasuk 41 calon Bebas.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");