Berita Hari Ini

Proses mengundi rancak sebelah pagi

Sejumlah 233,134 pengundi atau 21.72 peratus sudah keluar mengundi pada pilihan raya negeri Sarawak setakat jam 12 tengah hari, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peratusan itu dijangka lebih tinggi selepas SPR mengemas kini maklumat yang diterima dari semua pusat mengundi di seluruh negeri.

Tinjauan di beberapa pusat mengundi di Kuching mendapati proses pengundian perlahan sedikit menjelang tengah hari, kemungkinan kerana cuaca panas, selepas proses pengundian rancak pada sebelah pagi.

Di kawasan Dewan Undangan Negeri Piasau di Miri, 37.75 peratus daripada pengundi telah melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga 11 pagi.

Kawasan yang mempunyai 16,600 pengundi itu ditandingi oleh Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri George Chan, daripada Barisan Nasional (BN) yang ditentang calon DAP, Ling Sie Kiong.

Di Kuching, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengundi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Merpati Jepang di Satok pada jam 11.25 pagi bagi kerusi DUN Satok.

Ketika diminta mengulas proses pengundian setakat ini, Taib berkata: “Setakat ini semuanya baik, kami di Sarawak memastikan semuanya aman semasa kami mengundi.”

Taib yang juga penyandang kerusi DUN Balingian, diiringi penyandang kerusi DUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang sebelum itu mengundi di pusat mengundi yang sama pada 8.40 pagi, akan mempertahankan kerusi majoriti Melayu itu untuk kali kelapan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman, turut meluangkan masa bertemu dengan pengundi di luar pusat mengundi Merpati Jepang.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");