Perak Hari Ini

Raja Nazrin Puji Kerajaan Perak Berjaya Tarik Pelabur

Pemangku Raja Perak Dr Raja Nazrin Shah Raja Nazrin Shah memuji usaha yang dirintis oleh kerajaan negeri kerana berjaya meningkatkan keyakinan pelabur.

Menurut baginda, nilai pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam negeri Perak meningkat daripada RM893 juta pada 2009 kepada RM3.039 bilion pada tahun 2010, terdiri daripada RM1.393 bilion pelaburan domestik dan RM1.646 bilion pelaburan langsung asing.

“Melalui pelaburan tersebut, 5,396 peluang pekerjaan baru dijangka dapat diwujudkan,” titah baginda ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini Selasa.

Bagi memastikan setiap pelaburan dapat memulakan operasi dengan segera, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa jabatan dan agensi yang berkaitan akan mengambil pendekatan sebagai pemudah cara di samping mengamalkan budaya kerja mesra pelanggan.

Baginda juga menasihatkan anggota kerajaan dan penjawat awam supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan tidak melakukan rasuah.

“Perbuatan menyalahguna kuasa, mementingkan diri dan ahli keluarga dan perbuatan keji lagi jijik menerima rasuah, jangan sama sekali dilakukan.

“Insaflah. Bahawa jawatan dan kuasa datangnya dari Allah sebagai ujian terhadap setiap insan. Ia bersifat sementara.

Tinggalkan nama yang baik, laksanakan tanggungjawab dengan semangat melaksanakan amal makruf supaya mendapat keredaan Ilahi,”

Raja Nazrin Shah bertitah kekayaan bumi dan sumber manusia perlu digabungkan secara bijaksana dan harapan rakyat perlu diberikan ruang untuk berkembang.

“Kebahagiaan dan kesejahteraan, demikian juga keamanan dan ketenteraman, akan dapat dicapai apabila kemakmuran ekonomi berjaya diagihkan secara adil lagi saksama,” titah baginda.

Menurut baginda, keamanan dan keselamatan adalah satu kemestian kerana keyakinan pelabur begitu juga pelancong dari luar negara terhadap negeri dipengaruhi oleh indeks jenayah.

“Rasa resah rakyat terhadap insiden jenayah wajib ditangani. Insiden-insiden jenayah yang berlaku terutama jenayah jalanan dan ragut telah memberikan imej buruk negara di kaca mata umum.

“Beta memahami akan cabaran besar yang sedang dihadapi oleh anggota pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia. Kehadiran warga asing terutama yang menyeludup masuk secara haram meningkatkan masalah keselamatan,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah kesal dengan sikap sebahagian rakyat tempatan yang memberikan perlindungan dan mengambil pekerja daripada kalangan pendatang asing tanpa izin kerana ia menjadikan tugas pencegahan jenayah lebih rumit.

Menurut baginda, Perak yang berkongsi sempadan dengan negara jiran, baik sempadan darat begitu juga sempadan perairan, turut terdedah kepada aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi.

Memandangkan tugas pasukan keselamatan yang semakin berat sedangkan bilangan anggota serta sumber terhad, baginda meminta rakyat membuktikan semangat patriotik dan sifat bertanggungjawab dengan tidak menambahkan beban pasukan keselamatan.

“Aktiviti-aktiviti politik yang keterlaluan yang boleh mengganggu ketenteraman awam apatah lagi yang melanggar undang-undang tidak wajar dilakukan,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah sebelum itu memeriksa kawalan kerhormatan trdiri 100 pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan sambil diiringi Speaker Datuk R. Ganeson dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");