Perak Hari Ini

RM6.3 juta kos biaya tiga program utama YBU: Saarani

Sejumlah RM6.3 juta dibelanjakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dalam tempoh dua tahun lalu bagi melaksanakan tiga program utama yang bertujuan membasmi kemiskinan serta mengupayakan golongan keterbawahan di negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri, Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan), berkata tiga program itu ialah membina dan membaiki rumah, skim mikro kredit dan sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGOS).

Katanya, daripada jumlah itu, RM4.6 juta dibelanjakan bagi membina 102 rumah baru serta membaiki 47 rumah rakyat yang layak menerima bantuan daripada YBU.

“Untuk skim mikro kredit pula, sejumlah RM1.63 juta disediakan kepada rakyat pelbagai kaum untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan. Selain itu, kita turut memberi sumbangan kepada 47 NGOS di Perak dengan nilai keseluruhan RM46,000 dalam tempoh dua tahun lalu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Kubu Gajah) pada Sidang DUN Perak, hari ini.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata masalah banjir kilat yang berlaku di sekitar Ipoh dan di pekan Bagan Serai mendapat perhatian serius kerajaan negeri.

Menjawab soalan Sum Cheok Leong (DAP-Bercham), Dr Mah berkata, masalah banjir yang berlaku di kawasan industri Bercham dan Desa Impiana disebabkan oleh paras air Sungai Kinta naik mendadak apabila hujan lebat.

Bagi mengatasi masalah itu, MBI katanya, menggunakan manual mesra alam di kawasan itu bagi pelan jangka panjang.

Kerajaan negeri juga katanya, sedang mengkaji dan berusaha menyelesaikan masalah banjir kilat di pekan Bagan Serai.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) yang ingin  mengetahui bila kerajaan negeri akan melaksanakan projek menaiktaraf longkang yang terletak di sebelah kanan pekan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");