Perak Hari Ini

Runding Semula Dengan Kerajaan Negeri Jika Gagal Laksana Pembangunan Di Perak – Zambry

Mana-mana syarikat, agensi atau perbadanan yang gagal membangunkan sesebuah kawasan di Perak selepas diberi kelulusan tanah perlu berunding semula dengan kerajaan negeri bagi tujuan penstrukturan dan perancangan semula.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri tidak mahu pihak terbabit hanya berminat memiliki tanah bagi menambah simpanan tanah mereka kerana ia adalah sesuatu yang tidak sihat kepada pembangunan negeri dan masyarakat.

“Sekiranya mereka gagal melaksanakan seperti apa yang dirancangkan, pihak ini perlu rujuk kembali kepada kerajaan negeri. Kita tidak mahu akibat kegagalan mereka, kerajaan negeri tidak dapat menunaikan janji kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesra Menteri Besar bersama-sama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Lah di Chenderiang di sini Khamis.

Katanya beliau meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri (SADC) untuk meneliti semula perkara itu dan mengadakan pertemuan dengan kesemua pihak terbabit bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Mengenai program turun padang, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa memantau keperluan rakyat melalui beberapa pendekatan serta program yang dilaksanakan.

“Inilah kebaikan program turun padang yang kita laksanakan. Kerajaan negeri dapat memastikan segala perancangan dapat dilakukan serta bagi mengelak kelewatan projek di satu-satu kawasan. Selain itu kita juga boleh meneliti mengenai masalah rakyat yang tertunggak dan menyelesaikan dengan segera,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi penyaluran air bersih ke kampung Orang Asli itu yang akan dijalankan oleh Lembaga Air Perak bagi kemudahan dan keselesaan kehidupan mereka.

Zambry juga berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM30,000 untuk memulihkan kembali jambatan konkrit yang menjadi penghubung ke kampung berkenaan.

“Anggota Parlimen Tapah juga akan menyalurkan peruntukan RM20,000 bagi menyediakan kawasan permainan kanak-kanak bagi kesejahteraan penduduk di sini serta kerajaan negeri juga akan memberikan RM50,000 untuk membina laluan utama berturap masuk ke kampung ini,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");