Perak Hari Ini

Sultan Perak Seru Rakyat Utamakan Perpaduan, Amalkan Politik Sederhana

Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Selasa menyeru rakyat agar mengamalkan budaya politik yang berteraskan kesederhanaan dan mengutamakan perpaduan demi menjamin serta mempertahankan sistem kerajaan berasaskan amalan demokrasi.

Titah baginda, rakyat harus mengelak daripada menjadikan isu sensitif yang menyentuh kaum dan agama sebagai modal politik untuk mendapat pengaruh.

“Tidak akan berlaku stabiliti politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan dapat disuburkan ekonomi negara tanpa stabiliti politik. Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu kaum dan agama dipilih untuk disensasikan,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah demikian pada istiadat mengadap sembah setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena sambutan ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini.

Baginda juga menasihatkan rakyat agar mencari jalan penyelesaian yang membawa situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak agar tidak timbul pertelingkahan berterusan.

Titah Sultan Azlan, semua pihak juga wajib menerima realiti asas bahawa negara ini didiami pelbagai kaum dan agama sebaik sahaja mencapai kemerdekaan.

Oleh yang demikian, setiap pihak harus menerima hakikat bahawa antara warga memang ada kelainan, tetapi dalam kelainan tersebut terkandung kesamaan yang mana ia adalah aset negara yang perlu terus dipupuk untuk membina kemakmuran, manakala elemen kelainan yang bersifat liabiliti tidak harus digembar-gemburkan, titah baginda.

“Masing-masing menerima hakikat tuhan telah mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan tetapi daripada perbezaan itu terkandung persamaan. Hubungan tulus ikhlas kemanusiaan sebenarnya lebih terpancar di kalangan kanak-kanak yang bermain air di kolam yang sama dan berlari-lari di padang yang sama tanpa mengenal perbezaan antara kaum, agama dan taraf sosial,” titah baginda.

Selain itu titah Sultan Azlan, isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama adalah kompleks yang tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau melalui penghakiman mahkamah semata-mata.

“Keputusan mahkamah tidak memberi erti jika keputusan tersebut tidak diterima secara objektif, lebih mudarat lagi jika ditafsirkan dengan emosi. Kebebasan dan integriti mahkamah akan menjadi subjek pertikaian apabila emosi mempengaruhi asas penilaian,” titah baginda.

Sultan Perak turut bertitah isu berkaitan sensitiviti kaum dan agama perlu ditangani secara bijaksana serta berhikmah iaitu melalui perbincangan, agar persefahaman pada kalangan warga dapat dipertingkatkan.

Pada istiadat Selasa baginda berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 65 penerima dengan didahului oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

— BERNAMA

KLIK PADA LINK UNTUK KE GALERI SEKITAR SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN KE-83 TERSEBUT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");