Perak Hari Ini

Usul tergempar taktik pembangkang ganggu perjalanan Sidang DUN

Usul tergempar berhubung kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan yang dikemukakan Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin  untuk dibahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ditolak mengikut Perintah Tetap 89 atas alasan tidak membabitkan kepentingan ramai.

Speaker, Datuk R Ganesan berkata, bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat itu sebenarnya tahu cara membawa usul tergempar kerana beliau juga adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang.

“Mengikut Perintah Tetap 17 (2), Nizar perlu memaklumkan usul tergempar itu kepada Speaker dalam tempoh satu jam sebelum dewan bersidang.

“Walaupun usul tergempar mengenai aksi polis terhadap sekumpulan penunjuk perasaan di luar SUK penting, saya menolaknya mengikut Perintah Tetap 89 kerana ia tidak membabitkan kepentingan ramai,” katanya di Ipoh.

Tegasnya, walaupun beliau sudah membuat keputusan itu, Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham masih berkeras agar usul itu dibahaskan dalam dewan.

Ini katanya, membuktikan tindakan pembangkang yang senjaga membawa usul terbabit bagi menganggu perjalanan sidang yang berjalan lancar.

“Inilah taktik yang digunakan pembangkang untuk menganggu persidangan dewan serta mencari publisiti murahan.

“Adalah menjadi tugas polis untuk menjaga keselamatan umum dan dakwaan pembangkang itu tidak dapat diterima,” tambahnya.

Ditanya samada Nizar boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Ganesan berkata, beliau tidak menerima usul dari mana-mana pihak yang mahu merujuk wakil rakyat Pas itu kepada jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, beliau turut menyelar tindakan enam wakil rakyat pembangkang yang tidak menghadiri sidang DUN hari ini termasuk Adun Pasir Pinji dan Adun Jalong.

Pada Rabu, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming tidak hadir sidang DUN selepas mencetuskan kontroversi tidak memakai pakaian istiadat nombor satu pada hari pembukaan rasmi.

“Dewan bersidang selama empat hari dan Kor Ming sudah dikira mengambil bahagian dalam mesyuarat kerana hadir pada Selasa dan begitu juga dengan enam wakil rakyat Pakatan Rakyat yang tidak hadir hari ini.

“Mereka ini sekadar bermain politik kerana tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan yang diwakili sebaliknya lebih memberi keutamaan kepada pilihanraya negeri Sarawak,” tegas Ganesan lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");