Isu Panas

Utusan Malaysia:Demo aman depan pejabat DAP dan MCA

Geram dengan komen-komen perkauman yang dibuat oleh pemimpin DAP kepada akhbar Utusan Malaysia Isnin NGO dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menghantar senaskah akhbar terbabit ke Pejabat DAP di Jalan Pudu Kuala Lumpur.

Kumpulan yang diketuai Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Mohd Ali Baharom itu menyerahkan akhbar Utusan kepada Ketua Pentadbir pejabat DAP Wong May Ing petang ini.

Menurut Ali, tujuan mereka supaya pemimpin DAP membaca akhbar tersebut sebelum membuat komen-komen perkauman terhadap syarikat milik bumuputera itu.

“Kita memberi amaran keras kepada DAP dan pihak-pihak yang cuba membangkitkan sentimen perkauman supaya menghentikan perbuatan mereka sebelum terlambat,” kata beliau.

Baru-baru ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjadi ‘batu api’ apabila mencabar presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya mengenakan tekanan ke atas Umno supaya ‘menegur’ Utusan Malaysia berhubung artikel ‘1Melayu, 1Bumi’ yang diterbitkan akhbar berkenaan.

Artikel tulisan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan hanya mencadangkan supaya orang Melayu bersatu dalam gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi”.

Turut mengiringi Ali adalah Presiden Briged Nationalis Muda Armand Azha Abu Hanifah, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar, Ketua Pemuda UMNO Seputeh Razlan Razali bersama kira-kira 20 yang lain.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan 50 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengadakan demo aman depan ibupejabat MCA di Jalan Ampang.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali meminta MCA agar tidak melakukan provokasi terhadap kaum lain terutamanya Melayu, sebaliknya mengutamakan agenda untuk memulihkan sokongan kaum Cina terhadap parti itu.

Demo itu ekoran tindakan Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok yang mengajak rakyat memboikot akhbar Utusan Malaysia dilihat sebagai tidak relevan kerana akhbar itu hanya mempertahankan hak orang Melayu, tetapi tidak pernah mempertikaikan hak kaum lain.

“Banyak akhbar-akhbar berbahasa lain lebih rasis (bersifat perkauman) daripada Utusan Malaysia kalau mahu dianggap rasis,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada setiausaha akhbar Presiden MCA Giam Say Khoon di situ.

Seramai 50 anggota Perkasa mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang sambil memegang poster sokongan mereka terhadap Utusan Malaysia antaranya “Utusan Malaysia Harapan Orang Melayu” dan “Hidup Utusan”

Syed Hassan berkata antara empat perkara penting di dalam memorandum itu adalah menyentuh mengenai sokongan Perkasa kepada orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris berkata parti yang mewakili kaum Cina itu harus bekerja keras untuk memulihkan kepercayaan kaum itu.

“Kita mahu kesejahteraan. Tapi pada saat akhir ini DAP memainkan rasis, memainkan sentimen kaum. Apakah menjadi satu kesalahan apabila Perkasa mempertahankan orang-orang Melayu,” katanya.

Semalam, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Loh dalam bahasa Mandarin kepada Malaysiakini menggesa rakyat Malaysia supaya memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mecadangkan gerakan ‘1Melayu, 1Bumi’ diutamakan.-25/4/2011

Sumber : Agenda Daily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");